Nilai– Pertandingan nasyid sempena Ihtifal IPT ASEAN disambut meriah daripada seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Daripada 10 penyertaan, sembilan kesemuanya adalah daripada IPT dari Malaysia, manakala sebuah IPT dari Indonesia.

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama (DKU) Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah (FPQS), USIM itu menyaksikan 10 kumpulan nasyid daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berentap bagi merangkul juara keseluruhan pada malam tersebut.

Kumpulan nasyid Interacksee USIM merangkul anugerah Lirik Terbaik dan dinobatkan sebagai  naib johan. Universitas Islam Syarif Hidayatullah, Indonesia dengan lagu meraka I’m Proud To Be Young Muslim telah memenangi tiga anugerah iaitu Johan bagi pertandingan Nasyid IPT ASEAN, Nasyid Terbaik dan Lagu Terbaik manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) tempat ketiga.

USIM selaku tuan rumah, menjemput empat figura tanah air sebagai juri iaitu Fauzi Marzuki, Ahmad Fedtri Yahya, Mohammad Hafiz Hamidun dan Rima Rashidi bagi mengadili pertandingan nasyid pada kali ini. Kira-kira 400 pengunjung membanjiri DKU pada malam tersebut semata-mata menyaksikan kehebatan kumpulan nasyid yang bertanding mempersembahkan nasyid mereka.

Menerusi pertandingan Tilawah al-quran pula Hamdani Roshidi dari Universitas Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia telah dinobatkan sebagai Johan bagi pertandingan Tilawah al-Quran manakala saudara Mohamad Ashraf Azman dari USIM mendapat naib johan dan Qirani dari Universitas Sultan Ageng Tirtayasa, Indonesia di tempat ketiga.

 

Oleh:

EB Abdul Mutalib Abu Bakar

EB Mior Muhammad Shahid Mior Mohammad Zin