Sejak dunia beranjak sedikit demi sedikit menuju ke arah dunia era globalisasi kini, perubahan drastik semakin menampakkan implikasi yang amat ketara kepada hasil tinggalan tradisi yang diwarisi oleh nenek moyang suatu ketika dahulu. Jika diimbas kembali memori klasik dahulu, terdapat lebih daripada satu jenis cabang seni yang ditinggalkan kepada anak bangsa agar dijaga dan dijunjung sebagai warisan yang sentiasa membudayakan malah mempertahankan adat tradisi kesenian bangsa sendiri.

Menurut kamus dewan, seni memberi makna halus, kecil, elok, halus, enak didengar bagi suara, dan comel pada bentuk badan. Ia juga turut ditakrifkan sebagai karya, iaitu sajak, lukisan, muzik dan lain-lain yang dicipta dengan bakat dan kecekapan, hasil daripada sesuatu ciptaan. Namun persoalannya kini, masihkah ada unsur-unsur kehalusan dan kelembutan dalam kesenian yang kita pikul hari ini, memandangkan dunia sudah mula beralih sedikit demi sedikit ke arah barat, malah menjadikan negara barat sebagai telunjuk terutamanya dalam seni hiburan yang dikatakan sedikit sebanyak menjadi ejen kepada keruntuhan moral para remaja.

Ini merupakan salah satu isu perbincangan dan pandangan yang hangat dibicarakan dalam Seminar Seni Antarabangsa Dalam Era Pembagunan Manusia 2015 (INSART’15) yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3, Universiti Sains Islam Malaysia baru-baru ini. INSART’15 merupakan program yang julung kali diadakan oleh Pusat Kebudayaan USIM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) bertujuan untuk merekonstruktif sudut pandangan yang berbeza dalam menilai seni dan hubungan dengan pembangunan manusia selain bertujuan untuk melihat seni dan kaitannya dengan sains, sosio-budaya dan agama. Bersandarkan tujuh pembentang yang datangnya dari dalam dan luar negara, INSART’15 dilihat sebagai medium penyampaian yang berkesan walaupun penggunaan dwi-bahasa sebagai bahasa perantara iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Bercakap mengenai kesenian dalam kebudayaan manusia, “Kita harus akui bahawa seni sangat dinamik dan tidak dapat lari daripada mengalami perubahan dan inovasi, dan kitalah yang perlu mengawal selianya agar selari dan sesuai dengan konsep ‘ a good cultural arts ‘ atau seni berbudaya.” komen Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia, Encik Ismail Ahmed.

Sama ada seni tradisi mahupun seni moden, ia wujud dalam pelbagai medium antaranya melalui medium hiburan seperti muzik. Sepanjang seminar ini berlangsung, salah seorang pembentang yang menarik perhatian ramai iaitu Profesor Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengemukakan ideologinya sendiri mengenai seni dan perkaitannya antara sains dan muzik:

“Seorang agamawan amat bimbang muzik akan memberi kesan kepada akidah dan menyebabkan diri pelakunya tercampak ke lembah maksiat, manakala penggiat seni pula melihat bahawa seni muzik ini sebenarnya diperlukan oleh seseorang tetapi perlu patuh pada prosedur tertentu.”

Ungkapan sebegini sentiasa bermain di telinga ramai, namun hakikatnya ia berbalik kepada individu itu sendiri untuk mengawalnya. Tambah beliau lagi menerusi pembentangan itu, muzik juga mendatangkan kontroversi kepada agama Islam sepanjang masa terutama apabila ia disalah gunakan. Malah, kontroversi ini wujud kerana adanya salah faham tentang bagaimana seseorang itu memahami muzik dalam kehidupannya sehingga menyebabkan hadirnya dua pihak untuk ‘menghukum’ tentang perkara yang mereka tidak arif mengenainya.

Panel ini yang juga menyampaikan pembentangannya dalam Bahasa Melayu, dengan tegasnya turut menyatakan bahawa muzik sebenarnya adalah sebahagian daripada seni bagi sesetengah individu di mana ia dapat menenteramkan fikiran, mendamaikan jiwa dan juga menjadi sumber ilham. Menurut Merriam Alan P. iaitu ahli Antropologi Dan Ethnomuzikologi Amerika, dalam  buku ‘ The Anthropology of Music ’  (1964 : 32-33):

“Muzik merupakan suatu lambang dari hal-hal yang berkaitan dengan idea-idea, mahupun perilaku masyarakat.”

Menurut Boedhisantoso S. pula dalam buku ‘Kesenian dan Nilai-nilai Budaya’ (1982 : 23) dan Melalotoa dalam buku tulisannya yang berjudul ‘Pesan Budaya dalam Kesenian’  (1986 : 27):

“Muzik merupakan keperluan manusia secara universal yang tidak pernah berdiri sendiri jauh dari masyarakat.”

Encik Ismail Ahmed yang juga menjadi ahli panel INSART’15 turut menjawab persoalan yang sama iaitu persoalan mengenai pengaruh muzik terhadap aktiviti gejala sosial dan perkaitannya dengan para remaja. Ia telah diusulkan oleh peserta seminar yang mana beliau turut meminta penjelasan mengenai hukum yang membabitkan muzik dan keseluruhannya serta mencadangkan agar muzik serta-merta diharamkan agar statistik keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja dapat dibendung, kerana baginya yang mewakili para remaja, muzik banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Namun begitu, penjelasan yang tersusun oleh panel Encik Ismail Ahmed berjaya merungkai persoalan peserta itu yang pada awalnya menjadi suatu permasalahan dan penanda aras keruntuhan akhlak remaja yang sukar dibendung.

Seminar yang berlangsung selama dua hari ini berakhir dengan jayanya. Kecekapan para pembentang dalam membentangkan tajuk masing-masing dilihat telah memberi impak terhadap pemikiran yang lebih relevan mengenai seni dalam era pembangunan manusia dan sains teknologi. Solusinya, seni muzik dan bahasa yang dilahirkan dalam acuan peradaban dan ketamadunan merupakan cara terakhir bagi kita generasi muda untuk mempertahankannya daripada terus lenyap. Memandangkan industri dunia seni kita kini makin dihimpit dengan anasir-anasir negara luar yang sedikit sebanyak melumpuhkan seni tradisi moden yang kita praktikkan pada hari ini.

Mr. Gernot Galib Stafel, salah seoarang panel antarabangsa yang diundang khas yang juga merupakan Pakar Terapi Muzik dari IRPA, Vienna, Austria berkata:

“Sebuah hadis ada menceritakan kepada kita  bahawa ‘Allah itu cantik, dan suka akan kecantikan’. Kecantikan itu menyentuh jiwa-jiwa manusia di mana formulasinya tidak dapat kita temui dengan lukisan kebendaan seperti yang digunakan dalam seni bina, seni lukis atau seni muzik yang merupakan prinsip utama yang sering dianggap sebagai seni harmonik.” 

Tambah beliau lagi, seni dilihat secara tradisi sebagai satu ungkapan kecantikan yang lebih tinggi nilainya. Akan  tetapi, pada  zaman moden ini ia juga dilihat sebagai satu ungkapan emosi peribadi. Malah, dalam tafsiran seni moden, aspek penyembuhan adalah penting seandainya seni ini dilakukan secara ikhlas dari hati seorang penghibur, dengan tujuan untuk mempengaruhi orang lain dari segi emosi yang positif terutamanya sebagai seorang ahli agama. “Akhirnya, kita dapat lihat kedua-dua bahagian seni saling memerlukan antara satu sama lain iaitu ikhlas dari hati dan merupakan tujuan si penghibur”, katanya ketika ditemu ramah.

Semoga norma seni muzik dan bahasa kita mampu terus bangkit sebagai wadah demi menyebarkan syiar Islam sehingga ke akhirnya.

 

Laporan: Ejen Berita Abdul Mutalib