Seremban 8 Okt. – Bidang sains dan teknologi perlu bergerak seiring dengan seni kerana dua garapan sektor berkenaan boleh diintegrasikan apatah lagi ia saling berkait dalam kehidupan manusia.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail memberitahu, sudah tiba masanya bagi institusi pengajian tinggi negara mengorak langkah bagi mewujudkan satu fakulti sains dan seni di bawah satu bumbung yang sama.
Ini kerana kata beliau, langkah berkenaan dilihat mampu untuk menjadikan penuntut di semua universiti ini bukan berkebolehan dalam bidang kritikal bahkan dalam bidang seni kreatif.
“Saya melihat pergerakan dalam bidang sains dan teknologi ini perlu seiring dan selari dalam bidang seni dan bukannya diasingkan seperti yang berlaku ketika ini. Bahkan resolusi yang telah diberikan ini secara jelas mahu supaya adanya integrasi sains dan teknologi dengan seni dan ia selari dengan aspirasi kementerian dalam transformasi pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Seni Dalam Pembangunan Manusia Era Moden 2015 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Mengulas mengenai seminar berkenaan, Prof. Asma memberitahu seminar berkenaan dilihat sebagai satu platform terbaik kepada peserta untuk melihat kesenian itu ada di mana-mana untuk diadaptasikan dalam kehidupan seharian.
Malah katanya, seminar ini juga telah menarik perhatian daripada pelbagai pihak bukan sekadar untuk mendengar bahkan berkongsi pemikiran yang diutarakan oleh pembentang kertas kerja.
“Seminar seperti ini juga dilihat sebagai satu landasan dan cara untuk kita dapat mengintegrasikan kedua-dua ilmu ini secara bersama dalam pembinaan sebuah negara,” katanya.