NILAI, 14 September 2022 – Pengertian merdeka, tidak hanya di zahirkan pada kibaran dan gantungan bendera di kawasan premis, tetapi juga penghayatan dan melahirkan rasa syukur kepada Ilahi atas kurniaan kemakmuran yang dinikmati hingga kini. Bagaikan bangkit kembali setelah pandemik Covid-19, semangat menyambut bulan kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia tidak pernah luntur.

Justeru, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang di urus setiakan oleh Pusat Kebudayaan USIM dan Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Kolej Genius Insan telah menganjurkan Festival Koir Kemerdekaan Piala Pendaftar (FESKEP) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Penganjuran kali kedua dilihat lebih meriah dengan penglibatan sejumlah 230 peserta dari penyertaan pelbagai jabatan USIM. Para penonton juga dapat menyaksikan secara langsung menerusi platform USIM TV dengan hampir 500 penyokong hadir memberi sokongan kepada jabatan masing-masing.

 

Naib Canselor USIM, Prof Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani dalam ucapan perasmiannya berkata, seiring dengan tema hari Kebangsaan tahun ini iaitu Keluarga Malaysia – Teguh Bersama, semua warga USIM perlu mengutamakan semangat bersatu padu serta hidup dalam keadaan harmoni diantara sesama kita bagi memastikan kampus yang dicintai ini sentiasa aman damai dan terus makmur.

Manakala Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan turut berkata, rutin kepakaran staf yang sebelum ini hanya dilihat bekerja di sebalik meja dan skrin peranti, kini bakat kesenian mereka terserlah melalui penganjuran festival seperti ini. Beliau yakin rasa kebersamaan sesama kita perlu dieratkan kerana ini yang akan melahirkan rasa sayang kita kepada negara.

Tambahnya lagi, penyertaan 11 kumpulan melibatkan 18 jabatan ini menunjukkan bahawa staf USIM berupaya menyambut dan meraikan bulan kemerdekaan dengan meriah walaupun hampir dua tahun berdepan pelbagai kekangan dan sunyi dek pandemik Covid-19.”

Dalam pada itu peneraju program, Pengarah Pusat Kebudayaan Kebudayaan USIM Encik Ismail Ahmed berkata, salah satu alternatif untuk menonjolkan semangat cinta kepada negara adalah melalui program kesenian di mana dengan karya seni ia boleh membangkitkan semangat kecintaan berbilang kaum.

FESKEP menyaksikan Voice of Insan daripada Kolej Genius Insan sebagai Johan dan sekaligus merangkul piala pusingan dan wang tunai RM1,000.00. Kumpulan Otai Irama Merdeka terdiri daripada pensyarah dan pentadbir fakulti Pengajian Bahasa Utama mendapat Naib Johan dan memenangi wang tunai RM700.00 serta PRUPEL Harmonic Voice di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM500.00. Sebagai dorongan kepada semua peserta bertanding, penganjur turut memberikan empat anugerah lain iaitu anugerah konduktor terbaik dimenangi oleh Siinar Choir Group, persembahan terbaik Voice of Value, Kostum terbaik Otai Irama Merdeka dan bagi meraikan sokongan jabatan, anugerah penyokong terbaik dimenangi oleh Voice of Insan.

 

Kebanyakan kumpulan yang bertanding menampilkan kreativiti dengan mempersembah deklamasi puisi dan lakonan teater dan tidak kurang mengadakan gimik dengan berbasikal untuk menimbulkan penghayatan dan kefahaman patriotik berdasarkan lagu yang dipersembahkan.

Turut memeriahkan acara, legenda penyanyi rok tanah air Dato’ Nash yang juga Karyawan Seni USIM diundang sebagai ketua juri pertandingan.  Selain itu, penyanyi dan Naib Juara Gegar Vaganza dan juga guru vokal Dia Fadilla serta juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008 Azizul Haqim Md Anuwar turut hadir sebagai juri.  TAMAT

 

Disediakan oleh:

Rozihani Mohamad

Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif

Pusat Kebudayaan USIM

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800, Nilai, Negeri Sembilan