Disediakan Oleh:
EB Nur Syuhada Mohd Nazri
Pusat Kebudayaan USIM
Universiti Sains Islam Malaysia

NILAI, 14 Februari- Meskipun negara masih berdepan dengan situasi penularan COVID-19, Pusat Kebudayaan USIM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Enhancement Organization Program (O-PRO) secara maya bagi mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Program “Facebook Ads: From Zero to Hero” diadakan bertujuan menyuntik semangat usahawan dalam mempelajari strategi pemasaran yang lebih efektif menggunakan aplikasi Facebook.

Aplikasi Facebook antara platform yang digunakan oleh semua individu yang baru memulakan langkah untuk menjadi usahawan. Secara tidak langsung aplikasi ini dapat membantu mendapatkan pembeli kalangan rakan yang berdaftar dengan aplikasi tersebut. Facebook antara medium popular untuk memperkenal dan mempromosi produk dan jika dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya mampu memperolehi keuntungan yang lebih tinggi memandangkan pengguna di laman Facebook mencecah sehingga 3 bilion.

Menurut Mohd Zikrul Hakim Noor atau dikenali sebagai Coach Hakim berkata, seorang usahawan itu perlu menjadi seorang pemimpin yang proaktif yang tidak akan menunggu peluang datang, malah mereka sendiri perlu bertindak secara inisiatif dalam mencari peluang pasaran memasarkan produk mereka sendiri.

Beliau turut menyatakan, masih ramai lagi usahawan yang tidak tahu bagaimana untuk memulakan langkah pemasaran secara digital mengikut teknik yang bersesuaian dengan produk mereka.

“Seseorang usahawan itu juga perlu bijak menyusun strategi untuk terus menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang semuanya perlu dilaksanakan secara dalam talian”, tambahnya lagi.

Coachakim merupakan seorang motivator yang berpengalaman mengendalikan ratusan kursus pelbagai tajuk kepada ribuan peserta. Sebelum terlibat sebagai motivator, beliau merupakan tenaga pengajar (pensyarah) Robotik di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Berkelulusan Sarjana Sains (MSC) Kejuruteraan Elektrik (Robotik), namun minatnya yang mendalam terhadap bidang kejurulatihan mencetus perubahan profesionnya daripada seorang pensyarah kepada seorang motivator.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Akmal Razali berkata, program ini sedikit sebanyak membantu usahawan mengetahui ilmu pemasaran secara digital dalam memperluaskan perniagaan mereka.

Peserta daripada Pulau Pinang, Nur Azimah Mohamed Rozlan berkata, “melalui program FB Ads saya dapat merancang dan menyusun strategi jualan dengan baik untuk penambahbaikkan dari segi taktik promosi produk dan jualan dalam talian”. Sementara itu peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ainaa Hanis Hamdan berpendapat pendedahan yang diberi mengenai pemasaran di Fb Ads lebih menjimatkan masa dan membolehkan kita meluaskan jaringan bersama usahawan lain untuk membantu dalam mempromosi dan meningkatkan potensi jualan produk.

Seramai 30 peserta yang terdiri dalam kalangan staf dan pelajar USIM serta orang awam telah menyertai program yang dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi “Zoom”.