NILAI – Doa Anak Marhaein dinobatkan sebagai juara Festival Cipta Lagu Patriotik (CIPTA) 2014 yang berlangsung di Dewan Besar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena sambutan kemerdekaan ke-57, baru-baru ini.

Kemenangan itu menyaksikan pelajar USIM, Faidzil Redzuan selaku komposer dan penghuni Penjara Kajang, Dennis Anak Langit yang menggubah lirik, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta sijil penghargaan.

Lagu Bunga Pertiwi ciptaan penghuni Penjara Seremban, Zainal Ariffin Latif bersama pelajar Mohamad Khairul Ihkwan Salleh dan RM1,500 berserta sijil penghargaan.

Persembahan terbaik pula dimenangi lagu Bunga Pertiwi, di mana nyanyian Azizzul Haqim Md Anuwar dan Siti Nor Intan Abdul Latif meraih wang tunai RM750.

Mengulas CIPTA 2014, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, pertandingan itu berfungsi sebagai platform untuk menonjolkan bakat dan kreativiti pelajar bersama penghuni penjara, bagi menzahirkan kecintaan kepada negara.

“CIPTA 2014 merupakan program anjuran Pusat Kebudayaan USIM bersama Jabatan Penjara Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sebanyak 80 lirik dan 60 lagu dihasilkan pada edisi kali ini, di mana 10 lagu terbaik dipertandingkan pada peringkat akhir yang diadili juri profesional iaitu Fauzi Marzuki, Siso Kopratasa dan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah),” katanya.