Oleh:
EB Nur Syahirah Mat Yusof & EB Muhd Faiz Mohd Shaiful
Kelab Seni Budaya, Pusat Kebudayaan USIM

PERLIS, 13 Februari 2020 – Dalam usaha mengenali dengan lebih dekat tokoh seni tanah air, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan seramai 24 delegasi telah mengadakan program jejak warisan sempena Organization Enhancement Program (O-Pro) 8.0 Kembara Ilmu Zon Utara. Bagi mencapai hasrat ini, delegasi O-Pro telah berkunjung ke Kampung Pokok Sena, Chuping untuk menemui seorang tokoh seni yang disegani dan dikagumi Pak Romli.

Pak Romli sedang menunjukkan cara bermain batil (alatan muzik) yang dimainkannya di dalam persembahan awang batil

Romli Mahamud atau lebih dikenali dengan gelaran “Pak Romli” anak kelahiran jati Perlis ini masih aktif mengadakan persembahan terkenal dengan gelaran “Awang Batil”. Seni ini sememangnya sudah lama terkenal sejak dahulu lagi khususnya di negeri Perlis.

Menjadi norma bagi mana-mana penggiat seni di tanah air, di mana semua bentuk kesenian atau kebudayaan yang ada pada masa kini adalah warisan yang ditinggalkan oleh penggiat seni yang terkenal suatu masa dahulu.
Menurut Pak Romli, “Seni tersebut telah diturunkan oleh ayahandanya yang tercinta. sebelum pergi bertemu dengan Ilahi.” Ujar beliau apabila ditanya mengenai tentang bakat yang diwarisinya.

Selepas waktu Isyak, itulah masa yang sangat sesuai di mana permainan Awang Batil bermula. Hanya dengan menggunakan sebuah alat muzik tradisional yang dinamakan serunai serta dua jenis topeng yang diperkenalkan oleh Pak Romli, persembahan Awang Batil diteruskan dengan memainkan pelbagai jenis lagu untuk menarik perhatian orang ramai untuk menyaksikannya.”

Pak Romli menceritakan mengenai sejarah dan asal usul awang batil kepada hadirin

Ketika ditemui dalam kunjungan tersebut, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Ismail Ahmed berkata, “Pak Romli mempunyai kehandalan sebagai tokoh seni yang patut dikagumi kerana beliau bukan sahaja mampu bercerita menghiburkan masyarakat tapi mahir membuat alat muzik tradisional.” Beliau menambah bahawa tokoh ini kaya dengan ilmu seni dan perlu didampingi oleh generasi kini.

Namun begitu, seiring dengan peredaran zaman, lagu-lagu yang dimainkan juga boleh dikatakan serupa dengan lagu-lagu yang menjadi kegilaan orang ramai tanpa mengikut peringkat umur. Antara lagu yang pasti menarik perhatian ialah lagu tema dari filem Hindi yang sangat terkenal dari tahun 1990-an sehingga kini, seperti lagu filem Sangam, Mohabbatein dan tidak ketinggalan lagu-lagu Melayu asli. Hanya dengan mendengar irama dan melodi lagu tersebut, pasti mengujakan penonton untuk menyaksikan persembahannya.

“Awang Batil berperanan untuk menghiburkan dan mendidik masyarakat melalui kisah klasik. Awang Batil akan mengembara dari kampung ke kampung dan dari rumah ke rumah untuk menceritakan kisah seperti Raja Dewa Lok, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Lang, Cerita Angan-angan, Jabat Jabit, dan Abu Nawas. Kini, persembahan Awang Batil dapat ditonton semasa pesta, majlis perkahwinan dan kenduri kesyukuran,” kata Pak Romli ketika diadakan sesi temubual.

Menurutnya lagi, “Kebanyakan topeng yang digunapakai dalam permainan Awang Batil diperbuat daripada kayu. Topeng yang diperbuat menggunakan kayu biasanya mampu bertahan dengan lebih lama untuk tempoh yang tertentu jika dibandingkan dengan topeng plastik.” Menurutnya lagi ilustrasi lukisan ditambah dengan pelbagai jenis warna menyerlahkan dan mencantikkan lagi rekaan topeng tersebut.

Pak Romli juga merupakan pewaris terakhir Awang Batil. Walaubagaimanapun Pak Romli berkata masih terdapat pihak yang berminat mempelajari seni itu. Beliau setakat ini sudah mengenal pasti dua orang yang berpotensi menggantikannya. Anak-anaknya sendiri setakat ini tidak berminat untuk mempelajari seni itu. Beliau juga membetulkan tanggapan awam bahawa Awang Batil hanya akan diwariskan daripada bapa kepada anak. Katanya, beliau memang mewarisi seni itu daripada bapanya, tetapi bapanya tidak pula mempelajarinya daripada datuknya. Bak kata Pak Romli, kehebatan dalam bermain permainan awang batil ini tidak semestinya kerana keturunan, akan tetapi sifat seni yang tinggi terkandung dalam diri seseorang itu yang membolehkannya bermain dengan baik. “Bukan keturunan, tapi kena ada seni,” katanya ketika sesi temuramah di rumahnya Kampung Pokok Sena, Chuping Perlis.