Nilai, 23 Januari: Sempena Peperiksaan Akhir semester satu sesi akademik 2024/2025 yang berlangsung 27 Januari hingga 16 Februari 2025, Kelab Penerbitan Kreatif menganjurkan Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat Perdana Angkatan Seni Budaya, bertempat di perkarangan Panggung Seni, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sesi bacaan Yaasin yang diketuai oleh Ketua Kumpulan Kesenian Taranum, Saudara Muzammil.

Menurut pengarah program, Nur Qistina Mohd Shahril berkata, buat julung kalinya bagi penganjuran kali keempat, majlis bacaan Yaasin ini berjaya diadakan secara fizikal setelah beberapa tahun hanya dilaksanakan secara atas talian. Katanya lagi, melalui majlis seumpama ini komuniti kampus dapat merasai suasana spiritual bersama-sama dalam satu ruang, memperkukuh dan meningkatkan nilai persaudaraan sesama Penggerak Seni Berbudaya.”

“Penekanan terhadap nilai-nilai spiritual dan pengurusan masa yang efektif adalah dua elemen penting dalam mencapai kejayaan akademik mahupun kehidupan”. Ujar Mohamad Akmal Razali, Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM dalam tazkirahnya pada malam itu. Beliau turut menyatakan bahawa meskipun pelajar terlibat secara aktif dalam program kesenian, pembelajaran tetap harus diutamakan.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor dalam tausiyahnya turut menekankan bahawa keseimbangan antara aktiviti kesenian dan komitmen terhadap pembelajaran adalah kunci untuk mencapai kecemerlangaan yang sebenar. Ujarnya lagi, “Program bacaan yaasin dan solat hajat ini wajar dijadikan amalan yang membawa manfaat rohani kepada komuniti kampus khususnya keluarga Seni Berbudaya sendiri”.

Encik Salehudin, Pengarah PUSKEB menyampaikan pesanan kepada warga Angkatan Seni Budaya yang bakal menduduki peperiksaan akhir semester.

Majlis dimulakan dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, zikir munajat diikuti dengan solat maghrib dan bacaan yaasin diketuai Saudara Muhammad Zamraturrahman Yusri, wakil Majlis Perwakilan Pelajar USIM sesi akademik 2024/2025. Turut menjayakan majlis ini terdiri kalangan ahli Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni dan Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni yang dihadiri hampir 50 orang penggerak dan peneraju Seni Berbudaya.

Disediakan oleh:
EB Siti Hawa Syafari Ishak
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM