NILAI 6 Dis – Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa 2015 (Aksis’15)  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diadakan dengan penuh berprestij pada tahun kelapan penganjurannya. Majlis ini merupakan kemuncak kepada pencapaian pelajar yang bergiat aktif memberi sumbangan dalam pelbagai aktiviti dan penganjuran program serta mampu melonjakkan nama USIM di persada global. Aksis’15 mempunyai objektif yang jelas iaitu meningkatkan semangat berpersatuan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi USIM dan menjadi penanda aras kepada penambahbaikan berterusan program kemahasiswaan pada tahun mendatang.

 

Bertepatan dengan hasrat USIM bertekad untuk melahirkan graduan yang berteraskan ilmu Naqli dan Aqli, majlis ini dilihat mampu meningkatkan kualiti   pelajar  dalam kemahiran insaniah sekali gus menjadi nilai tambah untuk mereka mendepani kebolehpasaran alam kerjaya kelak. Aksis’15 mempertandingkan  3 kategori utama iaitu kepimpinan, kesukarelawan dan pencapaian. Terdapat 27 jumlah kategori yang dipertandingkan, 90 pencalonan keseluruhan seterusnya 56 calon telah disenarai pendek.

 

Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) juga tidak ketinggalan menghantar pencalonan bagi Aksis’15 dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Hafi Huzaifah Hussin, Pengerusi Urus Setia Kesenian Pleajar daripada Fakulti Sains dan Teknologi  merangkul 2 anugerah Kategori Kepemimpinan iaitu Anugerah Pemimpin Badan Pelajar Terbaik dan Anugerah Pemimpin Program Kepimpinan Terbaik (Terbaik). Beliau yang juga aktif sebagai juru hebah di radio USIM berkata, “ Konsep tidak bertangguh dengan menggunakan masa yang ada semaksimum mungkin antara pelajaran dan penglibatan dalam kelab sememangnya menjadi moto hidup saya di universiti. Ayah juga merupakan insan yang memberi inspirasi kepada saya dengan memberi kata-kata positif dan melatih saya berucap dengan yakin dan baik di khalayak ramai ”, ujarnya lagi pada malam itu.

 

Selain itu, ahli Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) yang turut memenangi pencalonan pada malam tersebut ialah saudari Nurul Husna bt Mansor pula merangkul Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan Terbaik melalui Kategori Kepemimpinan. “Bersyukur ke hadrat Ilahi atas kemenangan ini, di samping menaikkan nama UKP di antara badan pelajar di USIM dan kejayaan ini atas hasil dorongan daripada rakan-rakan dan staf Pusat Kebudayaan sendiri yang banyak memberi tunjuk ajar kepada kami semua ”, kata beliau sejurus majlis tamat.

 

Turut menerima anugerah  khas pada majlis itu, Duta Juhar bagi Anugerah Kesukarelawan Siswa, Saudari Fairus Abdul Manaf, penerima Anugerah Best Female Achiver Award – Commonwealth Educational Media Centre For Asia (CEMCA), Anugerah Sumbangsih Kumpulan kepada Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, malah tidak ketinggalan Anugerah Sumbangsih Individu Khas buat Mantan Naib Canselor UISM iaitu Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda.

 

Oleh :

EB Azizah Basri

EB Mutalib Bakar

Pusat Kebudayaan USIM