23 Januari, Nilai — Memikul tanggungjawab sebagai pemimpin kelab atau persatuan dalam organisasi di kampus adalah antara latihan dalam pembentukkan peribadi pelajar. Di peringkat ini, biasanya pelajar akan mempunyai kecenderungan untuk beridea, mempraktikkan skil pengucapan awam, mempunyai daya fikir kreatif dan kritis serta berupaya menyelasaikan masalah. Kebanyakan tindakan dan perilaku yang diperoleh melalui pergaulan, percampuran dengan pelajar senior, staf, komuniti dan perhubungan serta melalui jaringan yang dibina bersama pihak industri akan memberi nilai tambah terhadap kematangan mereka. Secara tidak langsung akan membawa kesan kepada cara pemimpin, mempraktikan metod yang boleh diguna pakai mengikut kesesuaian dalam pengurusan program. Kejayaan sesebuah program atau aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan memerlukan sebuah pengorbanan dengan nekad yang utuh agar ianya berjaya dan semua ahli serta jawatankuasa terlibat gembira merasai kejayaan dalam bentuk kerja kolektif.

Karakter sebagai pemimpin akan terbina melalui pengalaman yang dilalui mengikut peringkat umur kehidupan daripada kecil sehingga dewasa. Keterlihatan watak dan perwatakan antara pemimpin dan pengikut juga boleh dilihat melalui aktiviti berpersatuan. Bagi mengimbangi karakteristik pelajar dan keperluan mereka sebagai bekalan apabila berada dalam komuniti masyarakat dan industri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM (AKSIS). Dalam usaha mengimbangi keperluan secara holistik dan mengukuhkan kebitaraan bidang pelajar USIM, AKSIS dianjurkan untuk mengiktiraf sumbangan dan bakat pelajar melalui penganjuran aktiviti yang memberi impak yang dijalankan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, penganjuran aktiviti yang melibatkan komuniti dan memberi manfaat bersama turut diiktiraf untuk dipertandingkan kerana program seumpama ini berpotensi menghasilkan jaringan USIM bersama pihak luar.

Sejumlah 83 pencalonan diterima daripada pelbagai jabatan, fakulti dan badan persatuan pelajar bagi penganjuran kali ke-12 ini. Sementara itu, sejumlah 35 calon telah disaring di peringkat seterusnya bagi melalui sesi temu duga dan role play dan diadili oleh panel penilai yang telah dilantik.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menyifatkan bahawa universiti adalah medan terbaik kepada pelajar untuk menekuni masa yang ruang pembelajaran yang bukan sahaja tertumpu dalam bilik kuliah namun di luar kuliah dan meluaskan lingkungan sosial yang mampu membangunkan peribadi dan memberi manfaat. Beliau hadir menyempunakan perasmian AKSIS dan turut menyampaikan anugerah Penghargaan Khas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti kepada Kelab Seni Budaya USIM yang dinobatkan sebagai pemenang. Tokoh AKSIS disandang oleh Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin, mantan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2022/2023. Manakala Aufa Abdullah telah diangkat sebagai Ikon Graduan Integrasi IImu Naqli dan Aqli (GIINA) USIM.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penilai menyifatkan bahawa AKSIS adalah landasan untuk menyaring calon-calon USIM ke anugerah Tokoh Siswa peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. Melalui pengiktifaran yang diberikan, pelajar digalakkan meningkatkan impak pelaksanaan program yang memberi manfaat dalam jangka masa panjang kepada kumpulan sasar. Beliau turut menambah bahawa penerokaan ilmu dan pengalaman menyumbang kepada nilai tambah aspek kemahiran insaniah pelajar.

Anugerah AKSIS juga memperlihatkan kelab di bawah Pusat Kebudayaan USIM telah memenangi empat anugerah iaitu Anugerah Kepimpinan Kebudayaan oleh Pengerusi Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni Danish Zhafran Onn, Anugerah Kepimpinan Keusahawanan diperoleh pengerusi Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni Muhammad Fikri Hairulazmy dan Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek telah dimenangi oleh Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Najmi Adli Mustaffa.

AKSIS pada kali ini turut menyaksikan Dato’ Nash sebagai penerima anugerah Sumbangsih kategori Individu. Beliau merupakan Karyawan Seni USIM yang dilantik sejak tahun 2016 hingga kini telah banyak memberi sumbangan terhadap program seni budaya di USIM. Manakala Pusat wakaf dan Zakat (PWZ) USIM telah dipilih sebagai pemenang Sumbangsih kategori organisasi. Sejumlah 19 anugerah telah disampaikan kepada 21 penerima yang diadakan di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. Turut hadir ke majlis ini Ketua-Ketua Jabatan, timbalan-timbalan Dekan HEPA serta badan dan persatuan pelajar dan turut disiarkan secara langsung melalui platform USIM TV.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM