NILAI, 23 Mei 2025 – Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Meskipun tulisan Jawi semakin terpinggir dek arus modenisasi, masih ada pihak yang cakna dan berusaha gigih mengangkat nilainya sebagai nadi bangsa dan roh warisan negara.
Tulisan Jawi terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda apabila sejumlah 45 karya puisi Jawi peringkat sekolah menengah telah diterima menyertai Sayembara Penulisan Puisi Jawi (SePUJA) 2025 anjuran Kelab Penerbitan Kreatif dan Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pertandingan yang julung kali diadakan ini menerima penyertaan secara dalam talian dari 25 April hingga 21 Mei, sebelum sesi penjurian yang diadakan pada 23 Mei 2025 Pusat Kebudayaan USIM.

Ketua juri memberikan penerangan kepada Pengarah PUSKEB berkenaan penjurian karya-karya peserta.
Menurut Prof. Madya Dr. Nor Azlin Hamidon, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan merupakan salah seorang juri pertandingan menyifatkan bahawa SePUJA bukan sekadar medan pengkaryaan sastera, bahkan menjadi wadah memperkukuh tulisan Jawi yang kian terhakis dalam masyarakat. Tambahnya, tahap penguasaan bahasa dan pengolahan karya yang ditampilkan oleh para peserta mencerminkan semangat tinggi generasi muda terhadap bahasa ibunda serta komitmen mereka memelihara aksara warisan yang menjadi identiti kebangsaan. Turut disertai dua panel juri yang berpengalaman, Muhamad Solehan Fahmie Zulkapli daripada Sekolah Rendah Agama Sri Al Amin dan Ahmad Subhi Suhaimi, pensyarah Universiti lslam Selangor yang juga alumni Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.
Meskipun tulisan Jawi berdepan cabaran arus zaman, penyertaan yang memberangsangkan membuktikan masih ramai pelajar sekolah yang cakna terhadap kepentingan memelihara warisan ini. Malah, ada cadangan agar ia dijadikan subjek wajib di sekolah atau diperkenalkan semula dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan tulisanya kekal tidak dimamah zaman.
Pertandingan menyaksikan Wan Muhammad Adam Wan Khairul Azli dari Sekolah Agama Menengah Bestari diumumkan sebagai Johan, manakala Naib Johan dimenangi Siti Noralia Abdullah dari SMK Dato’ Undang Abdul Manap dan tempat ketiga milik Mohamad Amir Adeeb Amir Sabri dari SMKA Tun Juhar, Sandakan.
Lima lagi peserta menerima hadiah saguhati iaitu Muhammad Ammar Fauzan Mohd Fauzi, Athirah Najwa Gazairi, Muhammad Faqif Hazim bin Md Nasir, Ahmad Syahmi Zulkarnain dan Muhammad Syahkil Emran bin Mohd Irham.

Antara karya-karya peserta yang dihantar bagi Sayembara Penulisan Puisi Jawi (SePUJA).
Penganjuran SePUJA diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kesinambungan usaha pengukuhan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan negara.
SePUJA merupakan salah satu pengisian utama dalam program Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) yang berlangsung dari 27 hingga 31 dengan pelbagai pengisian termasuk Wacana Interaktif Penulisan Puisi, Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA), Bicarawara Sasterawan Negara bersama Karyawan Muda serta Wacana Interaktif Pemantapan Gaya Deklamator dan Teknik Penjurian. SERUMPUN turut dijayakan oleh rakan strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Pusat Wakaf dan Zakat USIM dan Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).
Disediakan oleh: Alya Afiqah Adnan,
Unit Berita SERUMPUN 2025
Kelab Penerbitan Kreatif Pusat Kebudayaan USIM.