Nilai, 22 Disember – Seni menjadi wadah penting dalam memupuk rasa empati, menghargai kepelbagaian, membangun solidariti dan membuka ruang introspeksi. Memasuki edisi kedua penganjurannya tahun ini, Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni (KPPS) meneruskan Student Art Festival (STARFEST) sebagai platform bagi menyampaikan mesej nilai-nilai murni kepada komuniti kampus dengan tema Pure Value and Humanity.
Menurut Pengarah Program, Sofha Hafizin Amirul Farhan, “Objektif utama penganjuran STARFEST adalah untuk mengetengahkan bakat-bakat pelajar USIM serta mengangkat potensi dan visibiliti ahli kelab seni budaya, khususnya KPPS, dalam aktiviti kesenian.” Beliau turut menambah bahawa STARFEST menjadi medium bagi pelajar menggerakkan jiwa, menyampaikan emosi, dan mengembangkan daya kreativiti melalui ekspresi seni yang pelbagai.

Salah satu persembahan yang dihidangkan kepada penonton pada STARFEST kali ini.
Persembahan STARFEST menampilkan seramai 200 peserta daripada 10 kumpulan kesenian yang terdiri daripada pelbagai genre, termasuk perkusi, seni tari, muzik moden, nasyid, koir, vokal ensemble, taranum, caklempong, dikir barat, dan beberapa kumpulan seni lain. Keunikan festival kali ini terletak pada pembahagiannya kepada dua sesi, iaitu Sesi Suria dan Sesi Rembulan, bagi menampung kapasiti penonton seramai 370 orang secara keseluruhan.
STARFEST juga menyaksikan gandingan hebat antara Ciknap dan Zoey Bahar sebagai hos acara. Persembahan yang penuh memukau ini turut diadili oleh dua juri profesional, iaitu Syed Indera Syed Omar, pelapor lagu puisi tanah air dan Dato’ Kemaru Ibrahim, tokoh serta penggiat budaya Negeri Sembilan. Para peserta dinilai berdasarkan beberapa elemen utama, termasuk struktur melodi, keupayaan vokal, dan kreativiti persembahan, baik melalui rakaman video mahupun persembahan secara langsung.

Sirih pulang ke gagang. STARFEST menyaksikan juga penampilan Alumni Seni Budaya yang menjadi pengacara majlis pada malam itu.
“Meskipun mempunyai jadual akademik yang padat, minat mendalam terhadap seni persembahan inilah yang menjadi penguat semangat saya dalam mengimbangi masa belajar dan latihan seni,” ujar Nur Syahirah Ramli, pelajar tahun akhir Fakulti Syariah dan Undang-Undang, ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang persediaan menuju ke STARFEST. Beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila kumpulannya, Perkusirama, berjaya dianugerahkan Persembahan Paling Kreatif. Katanya lagi, anugerah ini pastinya menjadi kenangan paling indah sebelum beliau menamatkan pengajian di universiti.
Beberapa anugerah lain turut dipertandingkan, antaranya; Anugerah Busana Terbaik dimenangi oleh The Bachelors, Kumpulan Tingkah Irama mendapat Anugerah Kumpulan Paling Popular, Anugerah Kumpulan Persembahan Terbaik Tabuh Pendeta dan Anugerah Kumpulan Paling Versatile disandang oleh Qvou dan Vokal Ensemble.

Kumpulan Tabuh Pendeta yang meungguli STARFEST pada malam itu dengan membolot persembahan terbaik dan Juara Keseluruhan.
Acara yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM ini turut dihadiri oleh Karyawan Seni USIM, Ikon Seni USIM, Tenaga Pengajar Seni Budaya, USIM Influencer, staf PUSKEB serta alumni USIM. STARFEST 2024 bukan sahaja menjadi pentas mempersembahkan bakat seni, tetapi juga menyatukan komuniti kampus dalam menghargai keindahan seni sebagai cerminan nilai kemanusiaan sejati.
Disediakan oleh:
EB Siti Hawa Syafari Ishak
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM