Oleh: Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif

Nilai, 28 Julai 2020 – Selari dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif lebih proaktif bagi memperkasakan keusahawanan pelajar melalui penghasilan produk seni. Ini bertepatan dengan apa yang dihasratkan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM agar pelajar melibatkan diri dalam keusahawanan supaya dapat melahirkan lebih ramai prosumer selari dengan kehendak pasaran kerjaya dan industri.

Justeru, Pusat Kebudayaan USIM telah mengadakan majlis pelantikan Karyawan Seni dan Penasihat Produk Seni semalam, bagi mendapatkan sokongan industri dalam merealisi dan melonjak usaha mempromosikan produk-produk seni pelajar ke arah yang lebih Islamik, patuh syariah dan berkonsepkan pendekatan kontemporari selain menepati kehendak pasaran.

Bagi merealisasikan  dan melonjak usaha mempromosikan produk-produk tersebut, beberapa karyawan seni tanah air dalam bidang-bidang tertentu turut menyumbang kepakaran dan dilantik sebagai Karyawan Seni USIM seperti Dato’ Nash (Karyawan Persembahan Seni); Syed Indera Syed Omar (Siso) sebagai karyawan Penulisan Kreatif; Fauzi Marzuki (Karyawan Penciptaan Kreatif); Muhamad Razin  Che Mud  (Karyawan Inovasi Produk); Ahmad Fedtri Yahya (Karyawan Pengacaraan & Penyiaran); dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman (Karyawan Seni Taranum) serta Dr. Irwan Mohd Subri (USIM) sebagai Penasihat Produk Seni yang bertujuan memastikan kesemua produk yang diterbitkan memenuhi kehendak Syariah.

Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM dalam ucapannya berkata, beliau menaruh harapan tinggi kepada Pusat Kebudayaan USIM agar pelantikan Karyawan Seni USIM dan Penasihat Produk Seni dapat menyemarakkan konsep prosumerisme khususnya dalam bidang seni budaya. Mahasiswa/i yang mempunyai bakat seni boleh dilatih menjadi prosumer dengan menggunakan platform media sosial agar mereka boleh memanfaatkan platform yang ada dengan menghasilkan seni budaya melalui konsep Learn More, Make More and Share More”.

Manakala menurut Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Karyawan Seni dan Penasihat Produk Seni USIM amat signifikan dalam memacu strategi USIM untuk  membimbing dan memahat engagement bersama pihak industri. Ini bertepatan dengan  hasrat kepimpinan USIM yang ingin melahirkan lebih ramai prosumer khususnya dalam bidang seni budaya. Langkah kreatif ini diharapkan memberi impak dalam meningkatkan kreativiti dan inovasi produk seni pelajar dan pemikiran job creator selepas tamat pengajian kelak.

Tambahnya lagi, penglibatan Karyawan Seni USIM dan Penasihat Produk Seni yang telah dilantik sejak tahun 2016 bukan sahaja pelengkap dalam sesebuah program, namun kewujudan mereka telah memberi impak dan tindak balas positif pihak luar kepada USIM untuk memberi keyakinan bahawa produk USIM (pelajar) memenuhi keperluan industri dan menyumbang kepada masyarakat”.

“USIM mengambil peluang untuk melebarkan kreativiti seni melalui beberapa pendekatan strategik dalam memodelkan bentuk keusahawanan seninya. Bermula tahun 2015, satu model Seni Berbudaya yang merangkumi tiga teras penting iaitu; Seni yang menghubungkan dengan Pencipta, Seni yang menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi serta Seni yang memberi manfaat kepada khalayak telah diperkenalkan. Menerusinya, USIM berharap pelajar yang terlibat dapat memainkan peranan sebagai key player untuk meneraju Seni Berbudaya pada masa hadapan, selain dapat melahirkan produk seni yang berkualiti, membawa manfaat dan menepati ciri-ciri patuh syariah”, jelas beliau lagi.

Karyawan Seni dan Penasihat Produk  USIM  akan memfokuskan kepada penyampaian, perkongsian, pengajaran dan pembelajaran keilmuan. Pelantikan ini diharapkan dapat mengimarahkan seni berbudaya atau good cultural art bagi membina ketamadunan masyarakat melalui sesi perkongsian ilmu, syarahan dan wacana ilmu seni budaya yang berupaya mendidik warga USIM sesuai dengan aspirasi Pusat Kebudayaan iaitu Peneraju Seni Berbudaya.

Majlis yang berlangsung di Panggung Budaya Pusat Kebudayaan USIM ini disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM. Turut hadir  Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM bersama beberapa pengurusan tertinggi USIM dan alumni USIM.

*Disemak semula:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia