Seni Warisan Dikir Barat

MENGENALI SENI WARISAN DIKIR BARAT

 

OLEH:

MOHD SULHIE YUSUF

 PENGARAH AKADEMI DIKIR BARAT ARJUNASUKMA

 

>> Asal Usul Sejarah

          Dikir Barat merupakan kombinasi dari dua patah perkataan iaitu ‘Dikir’ dan ‘Barat’. Dikir merujuk kepada perkataan dzikir yang membawa maksud perkataan atau sebutan yang diulang-ulang manakala barat pula merujuk kepada Selatan Thailand yang berada di barat negeri Kelantan. Dikir Barat dipercayai berasal dari sejenis seni yang dinamakan ‘Pantun Inai’. Pantun Inai adalah sejenis seni yang dimainkan secara berbalas pantun. Ianya disertai oleh beberapa orang yang berbalas pantun dua kerat secara tidak bertema namun berkisar tentang keadaan semasa. Acara Pantun Inai ini dimainkan sewaktu malam sebelum majlis kenduri kahwin. Ianya bagi mengisi waktu lapang para tukang masak sambil bersuka ria menghilangkan penat membuat persiapan kenduri tersebut. Sambil memarut kelapa dan sebagainya salah seorang akan menjual pantun dan diringi oleh para tukang masak lain akan melagakan tempurung kelapa yang dijadikan alat muzik. Mereka akan berbalas pantun sehingga selesai kerja-kerja memasak tersebut.

          Pada 1902, Raja Pattani pada ketika itu, Sultan Abdul Kadir telah mengadakan hari ulangtahun kelahirannya. Seperti kebiasaan adat raja-raja pada ketika itu, raja akan menitahkan kepada semua rakyat jelata mempersembahkan semua jenis seni dan permainan dari seluruh daerah taklukannya untuk memeriahkan majlis tersebut. Sebuah kampung yang dikenali sebagai Kota Bharu Man daerah Yala telah mencipta sejenis seni yang digelar ‘Dikir Hulu’. Dikir Hulu telah dicipta berasaskan dari seni Pantun Inai yang telah wujud sebelum itu. Pantun Inai ini diubahsuai bentuk persembahannya dengan memasukkan elemen muzik dan tepukan serta nyanyian suara ramai. Daerah Yala telah mempersembahkan persembahan Dikir Hulu pada majlis ulangtahun Sultan Abdul Kadir pada ketika itu. Bermula dari itu, Dikir Hulu telah berkembang ke seluruh daerah di Selatan Thailand termasuklah Narathiwat, Pattani dan Songkla. Ianya terus berkembang ke negeri Kelantan yang pada ketika itu penduduk di antara empat daerah Selatan Thai ini saling berhubung dan kebanyakannya masih mempunyai pertalian keluarga.

          Pada penghujung tahun 1930-an, ianya berkembang di  Kelantan. Di Kelantan, Dikir Hulu telah diubah corak persembahannya dengan memasukkan elemen melodi lagu karutnya yang dinamakan ‘Karut Kelantan’. Setelah corak persembahannya diubahsuai maka ianya digelar Dikir Barat oleh masyarakat Kelantan. Individu yang bertanggungjawab membuat pengubahsuaian dengan memasukkan elemen Karut Kelantan ialah Haji Salleh bin Haji Ahmad atau dikenali sebagai Salleh Tapang yang berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan.

         Sejak itu, Dikir Barat terus berkembang pesat ke seluruh Kelantan. Tidak lama kemudian ianya terus merebak ke seluruh pantai timur. Ianya juga turut berubah mengikut perubahan zaman tanpa merosakkan asas seni tersebut. Kini, Dikir Barat telah menjadi seni persembahan rakyat Malaysia.

  

>> Struktur Dan Bentuk Persembahan

          Dikir Barat adalah gabungan empat (4) elemen seni iaitu:

1. Seni Suara

          Dikir Barat memerlukan suara yang merdu untuk menyanyikan lagu-lagu dalam bentuk pantun yang terkandung dalam persembahannya.

2. Seni Muzik

          Dikir Barat memerlukan melodi untuk mengalunkan bait-bait pantun yang dicipta. Setiap nyanyian juga diiringi alat muzik khas untuk Dikir Barat dengan paluan yang berbeza beza mengikut kesesuaian lagu yang dinyanyikan.

3. Seni Sastera

          Setiap persembahan Dikir Barat memerlukan senikata untuk dinyanyikan. Senikata yang dicipta berasaskan pantun dalam Lagu Jogho memerlukan kata-kata yang indah dan puitis bagi menarik minat penonton.

4. Seni Gerak

          Dikir Barat dilengkapi oleh Awak-awak yang bertepuk tangan beramai-ramai mengikut tempoh tertentu berpandukan muzik. Setiap jarak antara satu tepukan ke satu tepukan yang lain awak-awak akan melenggokkan badan dan menggerakkan tangan mengikut rentak. 

 

>> Watak Pendokong Persembahan

          Setelah melengkapkan gabungan empat elemen seni seperti di atas, ianya perlu memenuhi watak-watak yang akan mendokong persembahan tersebut. Antara watak yang perlu dalam kumpulan Dikir Barat adalah seperti berikut :

1. Tok Jogho

          Tok Jogho merupakan penyanyi utama dalam kumpulan. Seorang Tok Jogho memerlukan alunan suara yang merdu, sebutan yang jelas dan kemahiran mengawal nafas dengan baik. Tok Jogho juga selalunya akan menjadi ketua dalam satu satu kumpulan Dikir Barat. Tok Jogho akan menyanyikan Lagu Jogho dalam bentuk pantun empat dan disahut oleh Awak-awak secara bergilir-gilir.

2. Tukang Karut

          Tukang Karut merupakan seorang yang petah dan bijak menyusun pantun dengan susunan isi cerita dengan kemas dan fakta yang tepat. Seorang Tukang Karut perlu bijak menghurai isi Lagu Jogho dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang isu semasa. Memiliki sifat humor pada seorang Tukang karut merupakan satu kelebihan. Tukang Karut juga perlu mahir dengan berbagai melodi lagu. Ini kerana Tukang Karut perlu menyanyikan lebih banyak melodi lagu berbanding Tok Jogho dalam satu persembahan. Tukang Karut juga perlu mempunyai daya pemikiran spontan yang tinggi kerana perbahasan regu lawan memerlukan hujah yang tepat dengan seberapa segera dalam bentuk pantun.

3. Pemuzik

          Pemuzik adalah individu yang bermain alat muzik Dikir Barat. Lima orang akan bermain alat muzik seperti Rebana Ibu, Rebana Anak, Gong, Canang dan Marakas. Alat muzik ini dimainkan oleh para pemuzik untuk mengiringi setiap lagu yang dinyanyikan oleh Tok Jogho dan Tukang Karut. Ianya mempunyai beberapa jenis rentak paluan mengikut kesesuaian dengan lagu yang dinyanyikan.

4. Awak-awak

          Awak-awak merupakan kumpulan yang melebihi lima orang dan menyanyikan lagu mengikut lenggok suara tertentu dalam satu nada suara. Setiap lagu yang dinyanyikan secara beramai-ramai selangi dengan tepukan mengikut tempoh-tempoh tertentu bergantung kepada melodi lagu yang dinyanyikan. Awak-awak yang baik ialah Awak-awak yang mampu menyanyikan lagu yang mempunyai nada yang tinggi, suara kuat dan menepati melodi.

 

          Setelah lengkap gabungan empat elemen seni dan memenuhi empat watak tersebut maka lengkaplah satu kumpulan Dikir Barat.

          Dikir Barat dipersembahkan secara berlawan antara dua kumpulan yang membuat persembahan. Dua kumpulan akan berlawan kemerduan suara dan kecekapan berhujah. Satu kumpulan terdiri dari seorang Tok Jogho selaku individu yang mengepalai kumpulan tersebut, seorang Tukang Karut, lima orang Pemuzik dan beberapa orang Awak-awak.

 

>> Persembahan Secara Gelanggang

          Pada peringkat awal kewujudan Dikir Barat, ianya dijalankan dalam bentuk gelanggang. Dua kumpulan akan membuat persembahan secara bergilir-gilir mengikut urutan lagu tertentu. Namun begitu perubahan format persembahan telah berubah mengikut zaman. Setelah mengalami peralihan zaman awal dari Dikir Hulu, Dikir Barat telah disusun mengikut format yang lebih tersusun. Contoh persembahan adalah seperti berikut.

          Jika kumpulan A yang memulakan persembahan, maka kumpulan B akan menunggu dengan memerhati setiap lagu dan isi senikata supaya dapat menjawab setiap hujah yang dilontarkan oleh Tukang Karut kumpulan lawan.

          Susunan persembahannya dimulakan dengan kumpulan A akan ‘Bertabuh Buka Panggung’ secara tiga peringkat bermula dengan tempo perlahan, sederhana dan laju. Ianya dimainkan oleh Pemuzik mengikut kemahiran masing-masing. Setelah selesai Tabuh Buka Panggung kumpulan A maka kumpulan B pula akan memulakan Tabuh Buka Panggung.

          Setelah selesai Tabuh Buka Panggung kedua-dua kumpulan, kumpulan A akan ‘Bertabuh’ untuk memulakan persembahan. Setelah selesai bertabuh, Tok Jogho akan memulakan persembahan dengan mengalunkan Lagu Jogho. Selesai Lagu Jogho, Tukang Karut akan mengambil giliran untuk mengalunkan Karut Yengki. Setelah selesai Karut Yengki, diikuti pula Karut Kelantan. Karut Kelantan adalah penamat satu-satu pusingan dan kumpulan B pula akan memulakan persembahan dengan paluan Bertabuh dan diikuti Lagu Jogho. Sebagaimana kumpulan A, kumpulan B juga akan melalui giliran yang sama iaitu Tukang Karut akan mengalunkan Karut Yengki dan Karut Kelantan. Begitulah giliran yang dijalankan dalam beberapa pusingan sehingga tamat masa persembahan. Jika kumpulan A yang memulakan persembahan, maka lagu penutup (Wau Bulan) akan dinyanyikan oleh kumpulan B sebagai tanda penamat persembahan pada malam tersebut.   

           

>> Dikir Barat Sebagai Medium Dakwah

          Sebagaimana kita maklum Dikir Barat merupakan salah satu medium penyampaian kepada masyarakat. Cabang seni ini boleh digunakan untuk menyebar dan mempengaruhi fahaman serta menyampaikan mesej dengan berkesan kepada khalayak namun sasaran khalayak bergantung kepada persekitaran  dan budaya masyarakat. Pada awal tahun 1980 lagu dikir barat banyak berkisar tentang penerapan unsur-unsur positif dalam kehidupan masyarakat setempat. Pada zaman itu juga muncul lagu-lagu dikir barat yang berunsur Islamik seperti lagu mengagungkan kebesaran Tuhan, kecintaan kepada Rasul dan beberapa rentak lagu yang  menyeru dan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Maha Pencipta. Berikut merupakan salah satu contoh bait lagu yang mengandungi unsur Islam sebagaimana huraian di atas:

Bangsa Arab asal baginda
Quraisy keturunan kaum keluarga
Negeri Mekah tempat di putera
Asal usul keturunan mulia…

          Ini jelas membuktikan bahawa seni Dikir Barat relevan jika digunakan sebagai medium dakwah di samping cara penyampaian  yang terkawal dan tidak melalaikan. Untuk menyampaikan
mesej dan dakwah kepada yang berkesan kepada masyarakat, Tukang Karut mempunyai peranan besar dan sangat berpengaruh. Tukang Karut merupakan pendokong watak penting dan berperanan besar untuk menyampai cerita melalui lagu. Seorang Tukang Karut mestilah mempunyai kriteria berpengetahuan luas serta peka terhadap isu semasa dan kaya dengan kosa kata untuk mengupas sesuatu isu. Di samping menghiburkan masyarakat, seorang Tukang Karut juga harus mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. 

 

>> Kesimpulan

          Persembahan Dikir Barat merupakan seni warisan bangsa yang perlu dipertahankan dan perlu diwarisi oleh generasi kini. Dalam konteks penyampaian dakwah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan Universiti Awam yang telah mendahului usaha ini dengan membuat inovasi dalam penyampaian lirik lagu Dikir Barat.  Pembaharuan dalam seni persembahan Dikir Barat  ini sesuai dijadikan model untuk menggalakkan seni yang berbudaya dan mengimbangi kesejahteraan hidup ummah sejagat.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.