Seni Sebagai Medium Dakwah

EDITORIAL TAMU

 

SENI SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

 

OLEH :

YBHG. DATUK USTAZ MOHD KAZIM ELIAS

 

          Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda.

          Tuan-tuan yang dihormati, di dalam Surah Al-a’raf ayat 33, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 

“Katakanlah:

Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alas an yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya”.

 

          Jelas di sini terdapat 6 macam larangan kekejian:

  1. Zahir
  2. Batin
  3. Dosa
  4. Dosa menganiayai terhadap orang lain
  5. Mempersekutukan yang lain dengan Allah
  6. Memandai-mandai membuat sendiri peraturan-peraturan agama yang dikatanya dating daripada Allah pada hal datang dari khayalan sendiri sahaja

 

          Di dalam ayat ini menggabungkan segala apa yang diharamkan oleh Allah sebagaimana ayat yang sebelumnya telah menghimpunkannya segala yang dibolehkan.

 

“Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya? Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat. Demikian Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

-Surah Al-A’raf ayat 32-

 

          Kedua-kedua ayat ini menghimpunkan pelajaran sopan sama ada persoalan tentang agama atau mengenai dunia begitu juga tentang pembatalan takliq iaitu mengikut sahaja apa yang diterima dari orang lain tanpa mengetahui alasannya. Maka di sini jelas menunjukkan bahawa apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Keluasan di dalam Islam sangat besar tetapi kekadang masyarakat menyempitkan pemahaman sesuatu perkara di dalam Islam. Etika dan pergaulan hidup pada zaman moden ini sangat sesuai dengan tuntutan-tuntutan ayat di atas. Maka kita boleh memahami misalannya apalah salahnya seorang yang telah tua umurnya dengan rambut yang disikat rapi memakai wangi-wangian segak bergaya, adakah boleh dikatakan bahawa orang begitu tidak bersesuaian hanya kerana masalah umurnya. Yang salahnya ialah melakukan dosa atau berpakaian yang diharamkan. Selagi mana ianya tidak bercanggah syarak maka hukumnya adalah harus.

          Di hujung ayat ini memberi peringatan keras kepada kita supaya jangan kita berani membicara sesuatu perkara kalau pengetahuan kita belum dapat menguasai persoalan itu dan jangan sesekali lancing membantah kalau sekadar hanya sangkaan semata-mata. Pemikiran yang tidak dirujuk terlebih dahulu kepada firman Allah atau sunnah adalah puncak segala dosa. Oleh sebab itu kalau mengenai hukum halal dan haram tidaklah boleh kita lancang-lancang sahaja kalau tiada nas yang jelas.

          Begitulah juga dengan budaya dan kesenian. Adakah islam mengharamkan kebudayaan dan kesenian secara mutlak. Bila menyebut tentang seni dan budaya, ia menunjukkan satu perasaan yang wujud pada setiap manusia. Kesenian adalah satu perkara yang halus dan sangat unik malah kesenian tidak terletak pada nyanyian dan lakonan semata-mata. Kesenian letaknya pada hati yang halus, mungkin pada sekeping gambar, mungkin dilontarkan dalam bait-bait syair, mungkin juga di dalam gerak laku dan mungkin juga budaya berpakaian. Semuanya itu asalnya adalah harus melainkan apabila dating penjelasan atau terdapat nas yang mengharamkan sesuatu. Maka segala kesenian dan kebudayaan yang terang-terang ada nas yang mengharamkannya, maka tidaklah boleh sesiapa yang menghalalkannya lagi.

          Di dalam berdakwah ada seninya, lenggok cakap, gaya bahasa, cara berinteraksi, memahami kehendak pendengar, tidak menjemukan malah menggembirakan dengan penuh penghayatan, itulah namanya seni. Sebarkanlah dakwah dengan sesuai pada masa dan zaman selagi mana tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan hukum dalam penyebaran dakwah.

          Dakwah bukan hanya semata-mata ceramah, forum, khutbah, pembentangan kertas kerja, kuliah maghrib atau kuliah di dalam kampus sahaja. Soalnya sekarang siapa kita dan bergeraklah sebagai seorang pendakwah mengikut platform masing-masing.  Peniaga boleh berdakwah, ahli politik dengan politiknya, tukang gunting dengan guntingnya, dan lantiklah kita sebagai ejen dakwah mengikut cara tersendiri selagi tidak bercanggah dengan hukum.

          Bolehkah penyanyi, pelakon mengatakan bahawa boleh berdakwah melalui karier masing-masing atau mungkinkah kita mengatakan bahawa tertutup terus jalan dakwah melalui seni dan budaya. Saya merasakan bahawa sesiapapun boleh menjai pendakwah dengan cara dan platform masing-masing dengan syarat mengetahui dengan jelas tentang hokum dan apa yang ingin disampaikan. Jika tidak, kecelaruan pada masyarakat akan berlaku. Begitu juga dengan golongan-golongan tertentu yang cepat menjatuhkan hokum tanpa sempat memberi ruang untuk keluasan berfikir dan berijtihad.

          Dengan itu, bukanlah bererti ditutup pintu ijtihad, bahkan ijtihad dianjurkan, mengqiaskan yang Furu’ kepada yang Usul. Melakukan Istinbath Hukum, dengan memilih Roh Syariat, setelah membandingkan hal yang baru pertama kali terjadi, dengan yang hal yang dahulu pernah terjadi, semuanya itu tidak dihalang oleh syara’. Tetapi hendaklah diingat bahawasanya hasil ijtihad tidaklah pasti. Tidak seorang pun ulama mujtahid yang besar yang menentukan bahawa hasil ijtihadnya itu mutlak benar dan wajib diterima. Sepakat seluruh ulama bahawa hasil sesuatu ijtihad adalah Zhanni (berat sangka), bukan Qath’I (pasti). Hanyalah orang-orang muqallidin yang benci dan yang berbeza dari pendapat ijtihadiyah guru yang diikutinya. Inilah pangkal bala bencana umat islam. Iaitu setelah umat dihukum oleh orang muqallidin.  

          Dakwah yang benar akan menjadikan akhlak orang lain semakin baik. Itulah hakikat dakwah. Kalau orang seni menjadikan orang lain semakin berakhlak, bermakna, dakwah seninya adalah benar. Tetapi, jika akhlak orang lain bertambah buruk akibat mengikuti seninya, itu mungkin dakwah seninya tidak benar atau tidak disampaikan dengan baik atau mungkin betul-betul salah di sisi agama. Begitu juga dengan pendakwah kontemporari kalau anak muridnya makin tidak berakhlak, sombong, suka memaki, menganggap diri lebih baik daripada orang lain, suka merendahkan orang lain, suka berdebat, tidak boleh ditegur, kedekut atau segala perangai buruk yang lain. Hendaklah dia juga ketahui bahawa mungkin cara dakwahnya tidak benar atau tidak disampaikan dengan baik atau ianya salah di sisi agama. 

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.