Insart: Perspektif Seni Berbudaya Baru

Ismail Ahmed

SIDANG EDITORIAL

 

INSART:

PERSPEKTIF SENI BERBUDAYA BARU

 

OLEH:

ENCIK ISMAIL AHMED

 PENGARAH PUSAT KEBUDAYAAN

 

Bidang seni sejak sekian lama jarang dipandang sebagai sumber ilmu dalam membangunkan intelektualiti dan ketamadunan manusia, sebaliknya lebih mesra dengan konotasi negatif, selain dilabel sebagai hiburan yang tidak berfaedah, melampau serta melalaikan.

Pelabelan secara negatif itu sudah berlarutan sejak sekian lama menyebabkan ramai terlupa seni bukan sahaja mempunyai keindahan, malah berupaya membawa inspirasi kepada manusia. Seni yang dikaitkan dengan hiburan sering dilihat memudaratkan, sedangkan ia berlaku disebabkan sikap prejudis yang enggan memandang secara seimbang sumbangan sesuatu seni.

 

SERLAH KEBIJAKSANAAN

Jika dilihat kepada bidang seni orang Melayu, karya tradisional seperti puisi, pantun, peribahasa, simpulan bahasa, pepatah, seloka, gurindam dan sajak yang dirakamkan dalam bentuk tulisan berjaya menyerlahkan akal budi serta kebijaksanaan orang melayu. Mengikut kajian, puisi yang disusun dengan mesej ke arah pendidikan dan pembangunan akal berupaya mengajak manusia berfikir dan menggunakan kekuatan minda serta intelektualiti ke arah pembentukan lebih sempurna dan beradab.

Jika berpegang kepada fahaman meluas yang dipegang umum, hiburan dirangkum berkait dengan bidang seni tarian, nyanyian dan muzik. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mendefinasikan hiburan sebagai perlakuan yang menghiburkan hati manusia daripada memandu laju hinggalah kepada menonton perlawanan bola sepak.  

Persepsi umum ini dibayangi makna hiburan pada zaman Arab jahiliah yang mengangkat hiburan dengan suntikan pelbagai elemen negatif daripada tarian memberahikan, nyanyian wanita bertujuan menggoda dan membangkitkan nafsu hingga pergaulan bebas. Apa yang perlu kita fikirkan dengan mendalam kini, adakah Islam mengajak kita menolak seni muzik, nyanyian dan tarian atau sebenarnya menolak budaya negatif yang disuntik mengikut budaya sesuatu etnik serta persekitaran setempat seperti zaman Arab jahiliah dan hiburan terdiri daripada dua konteks yang berbeza serta seperti disiplin lain, ia juga berupaya membawa kebaIkan jika ‘diserasikan’ dengan baik. Seni adalah bakat kurniaan Allah SWT yang menjadi keperluan manusia, manakala hiburan pula adalah kapsul penenang hati dan perasaan yang boleh dipilih daripada pelbagai disiplin.

Jika diamati dengan mendalam, seni paling tidak berupaya memusnahkan manusia lain berbanding sains, teknologi dan politik. Pendidikan Sains dan teknologi menyebabkan manusia berupaya menghasilkan senjata pembunuh yang menyaksikan jutaan jiwa terkorban, manakala perpecahan politik pula menyebabkan pertelingkahan diseluruh dunia.

 

HASILKAN SENI BERBUDAYA

Bagi menjadikan seni sesuatu yang membawa manfaat intelektual, adalah sangat penting untuk melakukannya dengan meletakkan al-Quran dan hadis sebagai rujukan paling atas dalam menghasilkan karya seni yang sempurna sifatnya. 

Penting untuk terus menghasilkan seni yang berbudaya kerana ia mampu memanfaatkan manusia termasuk mengajak mereka berfikir, berilmu berpengatahuan dan beradab. Seni berbudaya mempunyai tiga elemen terpenting iaitu berupaya membolehkannya merasai hubungan dengan pencipta-Nya. Ia juga perlu menjadi seni yang dapat menelusuri akhlak yang baik dan mewujudkan keseimbangan duniawi serta ukhrawi dan mengandungi nilai pengajaran mengenai kemanusiaan yang akhirnya dapat membina tamadun akal.

 

PERSPEKTIF BAHARU

Membina semula seni pada perspektif baharu dapat mengangkat seni dalam konteks yang lebih positif, malah mampu membangunkan tahap intelektual manusia dalam konteks kemanusiaan, agama, sosial dan sains.

Sudah tiba masanya masyarakat memastikan seni berbudaya tidak hanya disempitkan sebagai seni nasyid, qasidah atau cabang kesenian Asia Barat yang lain. Seni dikir barat misalnya sarat dengan ilmu dan mesej yang dapat mendidik khalayak. Apa yang penting dalam menilai karya sebegini ialah kita kembali melihat keindahannya dengan ‘hati’ dan bukan sekadar luaran.

Pendikir, Halim Yazid banyak melahirkan karya yang mendidik khalayak dengan penggunaan kiasan dan makna. Di sinilah pentingnya peranan penting karyawan dalam mengangkat seni berbudaya sebagai medium merasai kewujudan-Nya, mengimbangi duniawi dan ukhrawi serta memberi manfaat, selain mendidik khalayak.  

 

 

 

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.