Pengukuhan Aktiviti Pelajar

SIDANG EDITORIAL

 

PENGUKUHAN AKTIVITI PELAJAR DI IPTA:

PERANAN PENTADBIR SENI KE ARAH PEMBENTUKAN GRADUAN YANG CEMERLANG

 

OLEH:

ENCIK ISMAIL AHMED

PENGARAH PUSAT KEBUDAYAAN

 

>> Pengenalan

          Dunia hari ini berdepan dengan pelbagai krisis. Bermula dengan krisis kewangan, ekonomi, peperangan hinggalah ke isu pengangguran global. Pada tahun 2012, hampir 75 juta belia tidak mempunyai pekerjaan di seluruh dunia. Mengikut kajian International Labour Conference in Geneva, 2012: Draft Report on Youth Employment – Resolution, dan Graduate Employability in Asia, UNESCO 2012, lebih daripada 200 juta belia bekerja dengan pendapatan kurang daripada USD2 sehari. Manakala kadar tidak bekerja peringkat global meningkat daripada 5.6% (2007) kepada 6.2% (2010) dan bagi tahun 2011, seramai 12.7% (74.8 juta belia) tidak bekerja (Suhaime Mahmar,Slaid pembentangan Kebolehpasaran Graduan KPT, 2013).

          Di Malaysia, isu graduan yang menganggur sangat ketara dibincangkan. Masalah pengangguran di kalangan graduan universiti sering dikaitkan dengan isu kekurangan dan kelemahan graduan yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi. Rungutan daripada majikan di Malaysia ialah graduan kurang menguasai kemahiran insaniah (Nurita, et al. 2007; Hassan, et al. 2007; Azami Zaharim, et al. 2009). Ini dapat dilihat dari berita yang terpampang di dada akhbar hampir setiap hari mengenai graduan yang kurang kompeten khususnya dalam kemahiran insaniah (Rohaila Yusof, et al. 2007). Rohaila Yusof, et al. (2007) mengenal pasti antara punca penyumbang graduan jurusan perniagaan menghadapi kesukaran dalam mendapat pekerjaan adalah kerana kekurangan kemahiran insaniah. Statistik kadar graduan yang menganggur sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2011, seramai 30,699 (69.5%) graduan belum mempunyai pekerjaan. Daripada jumlah graduan 44,194 pada tahun 2011 tersebut, seramai 55.6% menghadiri temuduga sebanyak 1 – 5 kali, 5.1 % 6 – 10 kali dan 0.3 % lebih daripada 11 kali. Di Malaysia, data Jobstreet.com 2009 pula, menunjukkan masalah yang seringkali dihadapi oleh majikan adalah seperti di Rajah 1:

 

Rajah 1

 

          Walaupun rekod pengesanan graduan KPT menunjukkan purata IPTA ialah sebanyak 65 – 75 % telah bekerja dalam tempoh enam  bulan  pada tahun 2012 (UKM, 2013), sejauh manakah aktiviti seni budaya di peringkat IPTA menyumbang kearah peratusan ini. Adakah langkah- langkah yang telah dan akan diambil oleh pentadbir seni di IPTA (MAKUM) masih relevan dan menjurus kepada peningkatan kemahiran insaniah pelajar sebelum mereka menjadi graduan kelak? Seperti yang dinyatakan penulis, kertas kerja ini akan lebih menumpukan kepada persoalan peranan yang boleh dimainkan oleh pentadbir seni dalam meningkatkan kemahiran insaniah pelajar melalui aktiviti seni budaya di IPTA khususnya diperingkat MAKUM.

 

>> KEMAHIRAN INSANIAH PELAJAR MELALUI AKTIVITI SENI BUDAYA

          Definasi kemahiran insaniah berbeza antara negara. Menurut Clayton, et al. (2003), Australia merujuk kemahiran insaniah sebagai ‘key competencies’, 'soft skills', atau ‘employability skills’’. British pula menggunakan istilah ‘key skills’ atau ‘core skills’, manakala Amerika mengguna pakai istilah ‘necessary skills’ atau ‘employability skills’. Kebanyakan istilah tersebut memberi tumpuan ke atas tajuk yang berkaitan dengan gambaran personal, sikap, tabiat, dan juga tingkah laku. Kemahiran insaniah merupakan kemahiran yang merangkumi kemahiran generik. Kemahiran generik ialah ‘Kemahiran Insaniah Tambahan’ (KIT) yang memberi nilai tambah kepada pelajar. Jika kemahiran ini dimiliki oleh pelajar ianya dapat memiliki kompeten yang cemerlang dalam elemen kemahiran insaniah. KPT, 2006 menggariskan 7 elemen yang amat kritikal dan diperlukan dalam dunia  pekerjaan bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.  Kemahiran Insaniah yang merangkumi 7 elemen (Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah (Soft skills) untuk Institut Pengajian Malaysia, 2006) ialah;

1. Kemahiran Berkomunikasi

          Kemahiran berkomunikasi (CS) melibatkan komunikasi yang berkesan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Beberapa UA juga telah memahirkan pelajar melalui penekanan Bahasa Arab, Mandarin dan lain- lain.

2. Pemikiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah

          Kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah (CTPS) melibatkan kebolehan berfikir secara kritis, kreatif, inovatif, analitis, serta berkebolehan mengaplikasikan pemahaman dan pengetahuan kepada masalah baru.

3. Kemahiran Kerja Berpasukan

          Kemahiran kerja berpasukan (TS) melibatkan kebolehan untuk bekerjasama dengan orang lain daripada pelabagai latarbelakang sosiobudaya untuk mencapai matlamat yang sama

4. Pembelajaran Berterusan dan Pengurusan Maklumat

          Pembelajaran berterusan (LL) melibatkan usaha belajar berdikari dalam pemerolehan kemahiran dan pengetahuan baru.

5. Kemahiran Keusahawanan

          Kemahiran keusahawanan (KK) melibatkan keupayaan untuk meneroka peluang dan membangunkan kesedaran tentang kreativiti dan inovasi dalam aktiviti berkaitan perniagaan.

 

6. Etika dan Moral Profesional

          Etika dan moral professional (EM), melibatkan kebolehan untuk mengamalkan standard moral yang tinggi dalam amalan professional dan interaksi sosial.

 

7. Kemahiran Kepimpinan

          Kemahiran kepimpinan (LS) melibatkan keupayaan untuk mengamalkan ciri kepimpinan dalam pelbagai aktiviti.

 

>> Peranan Pentadbir Seni Di IPTA

          Pentadbir seni di UA merupakan kumpulan staf yang mengawal secara langsung aktiviti seni budaya. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada perkembangan seni budaya di kampus dan di luar kampus universiti. Setiap universiti mempunyai organisasi seni budaya yang dikenali samada sebagai  pusat, unit atau seksyen. Semua peranan yang dijalankan oleh pentadbir seni akan memberi impak samada positif atau sebaliknya. Pentadbir seni di UA berupaya memainkan peranan yang sangat penting dalam mengurus dan mentadbir organisasi seni mencapai matlamat sebenar penubuhannnya. Pentadbir seni merupakan seorang pengurus yang merancang pembangunan aktiviti seni pelajar dan memastikan segala perancangan memenuhi keperluan kemahiran insaniah. Pengurus bukan hanya wujud didalam sektor perniagaan, pentadbiran, perbankan sahaja. Williams (1983: 189-192) meletakkan perkataan ‘management’ dalam vocabulary kebudayaan. Perkataan ‘manage’ dalam kamus English berasal daripada perkataan manegiare, iaitu bahasa Itali yang membawa maksud ‘to handle or train horses’.  Williams menegaskan lagi bahawa management adalah fungsi generik yang sesuai ‘to each and every organization’. Sebagai pentadbir seni, keperluan untuk mempunyai kompetensi dalam menguruskan aktiviti seni budaya adalah satu kemestian. Menurut petikan didalam International Encyclopedia of Public Policy and Administration, Dan Martin (1998:128), seorang pentadbir seni perlu memahami dan menguasai aspek pengurusan seni yang terdiri daripada lima elemen iaitu planning, organization, staffing, supervising, and controlling. Pada pandangan penulis, setiap organisasi seni budaya seperti pusat/ unit kebudayaan dan kesenian UA perlu mempunyai kumpulan ‘good managers’ yang memenuhi keperluan pusat/unit tersebut. Jika ini dapat dilaksanakan maka perancangan untuk meningkatkan kemahiran insaniah pelajar dan graduan akan dapat direalisasikan dengan betul dan cemerlang.

 

>> Falsafah Pendidikan Kebangsaan

          Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK), pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (USM, 2007). Salah satunya yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmoni dan seimbang. Bagaimana seni boleh melahirkan insan yang seimbang dalam kesepaduan fitrah dan ukrawi? Seni seharusnya berfungsi sebagai satu konsep mengenal ilmu. Nilai ilmu pula terletak kepada kebenaran kandungan dan penghayatan yang sebenar.

1. Mengenal Seni Yang Benar

          Seni secara definasinya merupakan karya atau hasil kreatif yang dicipta dengan keindahannya yang tersendiri dengan disiplin- disiplin kreatif yang berbagai antaranya seperti seni persembahan, seni tampak dan seni halus.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,  karya seni ialah sesuatu ciptaan yang mempunyai nilai keindahan dan memberikan kepuasan cita rasa kepada khalayaknya. Namun kita seringkali terkhilaf mentafsir Firman Allah SWT dalam Al- Quran yang berkaitan dengan keindahan. Maka kenyataan mengatakan Allah sukakan keindahan perlu ditafsir dengan tepat dan benar. Seni yang indah perlu mempunyai nilai ilmu yang boleh membangunkan akal budi khalayaknya. Richard Ettinghausen dalam artikel beliau mengenai pandangan Imam Al- Ghazzali berkaitan keindahan (21-31): 

 

“The beauty of the outer form which is seen with the bodily eye can be

experienced even by children and animals, … while the beauty of the

inner form can only be perceived by the eye of the ‘heart’ and the light

of inner vision…”

 

          Oleh kerana seni itu akrab dengan keindahan, maka seni yang dihasilkan dengan ‘world view’ Islam akan mampu memberi manfaat kepada pencipta dan khalayaknya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

“Sebaik-baik manusia diantaramu adalah yang paling banyak manfaatnya  bagi orang lain.” 

-Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

 

2. Seni dan Kelebihannya

          Seringkali kita ditanya oleh pengurusan universiti, apakah kaitan seni atau bagaimana seni menyumbang kepada peningkatan kemahiran insaniah pelajar? Bagaimana sekumpulan pelajar yang menari di pentas mampu mengaitkan kebolehan menari dengan kemahiran insaniah misalnya elemen Pemikiran Kritis dan Penyelesaian Masalah? Jawapannya perlu dijawab dengan bijak oleh pentadbir seni di UA. Bagi penulis, selain daripada konsep seni dalam menghayati keindahan tuhan dalam Islam, sains mungkin mampu menjawab persoalan ini. Seni mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan sains. Sebagai contoh, pengasas Microsoft, Bill Gates mempunyai apa yang dipanggil inhouse Orchestra di Microsoft. Inhouse Orchestra ini menghimpunkan semua staf, spouse dan juga kontraktor pembekal yang berminat dengan muzik untuk memenuihi aktiviti mereka dengan muzik. Apakah kepentingan untuk mempunyai sebuah inhouse Orchestra didalam sebuah konglomerat IT terkemuka didunia? Menurut Mayer Spivack (2007);

 

“There is evidence from nuerological research that when children involved in art, their mathematical and other thinking skills improve. Art changes the brain. The making of art is exercise for other thinking skill. Cousin of mathemathic is music”.

 

          Seni mampu merangsang otak manusia menjadi lebih kreatif atau ‘arts help to improve others thinking skill’. Beliau turut menyatakan bahawa, ‘cousin of mathemathic is music’ atau dengan kata lain seni muzik merupakan elemen yang boleh membantu menajamkan kebolehan matematik seseorang. Penemuan ini turut ditegaskan oleh  Laurence O’ Donnell dalam Music and the Brain: 2009,

 

“Music helped Thomas Jefferson write the Declaration of Independence. When he could not figure out the right wording for a certain part, he would play his violin to help him. The music helped him get the words from his brain onto the paper”.

 

          Menurut Laurence  O’ Donnel lagi. Satu fakta yang jarang diperkatakan ialah sewaktu Albert Einstein kecil, beliau pernah digelar oleh gurunya sebagai “ too stupid to learn ”. Menurut rakan Einstein iaitu G.J Withrow;

 

A little known fact about Einstein is that when he was young he did extremely poor in school. His grade school teachers told his parents to take him out of school because he was "too stupid to learn" and it would be a waste of resources for the school to invest time and energy in his education. The school suggested that his parents get Albert an easy, manual labor job as soon as they could. His mother did not think that Albert was "stupid". Instead of following the school's advice, Albert's parents bought him a violin. Albert became good at the violin. Music was the key that helped Albert Einstein become one of the smartest men who has ever lived. Einstein himself says that the reason he was so smart is because he played the violin. He loved the music of Mozart and Bach the most. A friend of Einstein, G.J. Withrow, said that the way Einstein figured out his problems and equations was by improvising on the violin.

 

          Penjelasan dan informasi ini seolah menegaskan bahawa seni budaya mampu menjadi elemen yang sangat penting dalam membantu meningkatkan kemajuan pelajar terutamanya dalam aspek kemahiran insaniah. Oleh kerana itu, jika seni tari dikaitkan dengan kemahiran insaniah, maka jawapannya ialah ‘arts help to improve others thinking skill’. Bukan itu sahaja dalam sejarah Islam, muzik dan segala jenis peralatan banyak dihasilkan oleh ilmuwan Islam untuk mengubati mereka yang mengidap penyakit kejiwaan dan emosi seperti penyakit sukar tidur dan juga penyakit yang berhubung dengan unsound mind (Mohd Yusof  Hj. Othman, Pengenalan Sains Tauhidik, 2014)lamasebelum barat memperkenalkan muzik dengan kaedah terapi mereka.

          Namun berbeza dengan pendekatan sains, tujuan seni dalam Islam adalah untuk mendidik manusia menjadi benar dan dapat mengimbangi antara duniawi dan ukrawi dan seterusnya mengenal ilmu seperti juga yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Untuk mencapai keseimbangan yang dimaksudkan didalam FPK, pelajar perlu melalui beberapa siri pembentukkan kemahiran insaniah yang tepat dan berkesan bagi memenuhi matlamat FPK ini. Penerapan kemahiran insaniah melalui aktiviti seni budaya perlu bersifat mendidik dan berupaya membentuk pelajar menjadi rakyat yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai dan memberi kesejahteraan kepada bukan sahaja pelajar, graduan malah keluarga, masyarakat dan negara.

 

>> CADANGAN PENAMBAIKAN PENINGKATAN KI DI PUSAT/ UNIT KEBUDAYAN DAN KESENIAN UNIVERSITI AWAM (UA)

          Walaupun aktiviti seni budaya di peringkat MAKUM sering dianggap tidak  lebih kepada memenuhi aspek seni persembahan pentas dan penganjuran seminar, pentadbir seni perlu merancang dan merangka satu pendekatan yang boleh membawa aktiviti seni budaya bukan sahaja setakat Kemahiran Insaniah Tambahan (KIT) iaitu malah mampu menjadikannya Kemahiran Insaniah Mesti (KIM) (KPT, 2006). Jika diperlukan satu pengukuran, bagaimanakah pentadbir seni di Pusat/Unit Kebudayaan di UA boleh mempamerkan data 7 elemen KI yang diperolehi daripada penganjuran aktiviti dan seterusnya membuktikan keberkesanan penganjuran aktiviti seni memenuhi 7 elemen KI.

          Penulis ingin mencadangkan didalam kertas kerja ini beberapa cadangan yang difikirkan sesuai diperingkat UA iaitu; 

1. Pengumpulan Data KI

          Jika semua UA mempunyai data KI yang direkodkan dengan konsisten, maka satu rangkaian dan pengkalan data KI boleh dibangun dan diwujudkan melalui kaedah maya supaya UA melalui sekretariat MAKUM boleh membentangkan kepada pihak KPM bagi tujuan pembangunan seni budaya dan peruntukkan dana khusus bagi program KI dalam konteks seni budaya.

2. Pentadbir Seni Gen - K

          Penulis mencadangkan supaya satu bentuk latihan sepadu dan sistematik bagi semua pentadbir seni di UA daripada pelbagai peringkat perjawatan diwujudkan bagi menjadikan warga pentadbir seni di UA sebagai generasi kompeten (Gen- K) dan cakna akan perancangan, matlamat dan objektif di peringkat organisasi, universiti dan kementerian.

3. Membangunkan Modul Pengajaran Seni Budaya

          UA perlu membangunkan satu modul seni budaya yang komprehensif dan berupaya meningkatkan KI pelajar dibawah kendalian Pusat/Unit Kebudayaan. Penerapan modul ini perlulah holistik dan mengambilkira 7 elemen yang merangkumi Kemahiran insaniah.

4. Membangunkan Program Community Engagement Berimpak Tinggi

          Di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia, program libatsama masyarakat atau Community Engagement sangat diberi penekanan. Pelajar IPT digalakkan menganjurkan program yang menyumbang kepada pemindahan ilmu atau knowledge transfer kepada masyarakat sebagai contoh mewujudkan program sekolah angkat seni budaya bagi setiap UA mengikut negeri di Malaysia. Jaringan rakan strategik sperti JKKN juga boleh diadakan bagi mendapat pengiktirafan. Pemindahan ilmu seni budaya kepada pelajar sekolah merupakan satu pendekatan yang baik dan dengan kaedah yang betul, program libatsama masyarakat atau Community Engagement ini mampu meningkatkan kemahiran insaniah pelajar UA dan pembelajaran berterusan diperingkat pelajar- pelajar sekolah yang menyertai program sekolah angkat seni budaya ini.

 

>> PENUTUP

          Kejayaan kemahiran insaniah merupakan tanggungjawab setiap warga universiti. Pentadbir seni di UA yang mampu menghayati keperluan pelaksanaan pembangunan kemahiran insaniah dikalangan pelajar dan graduan secara langsung akan turut membangunkan negara. Dengan memfokuskan kepada pembinaan Graduate Student Attribute (Kemahiran Insaniah), pentadbir seni seharusnya mempunyai sikap yang positif dan sentiasa ingin menyumbang yang terbaik kepada pelajar, universiti dan seterusnya kepada negara. Pemerkasaan kemahiran insaniah sentiasa menjadi agenda penting negara oleh kerana ianya menyumbang kepada pembangunan modal insan yang diperlukan bagi mencapai Wawasan 2020. Bagi penulis, pentadbir seni di UA perlu memastikan peranan mereka dalam merancang, menyelaras dan membangunkan seni budaya supaya terus kekal Relevant, Respected dan menjadi Reference di masa depan. 

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.