Mengangkasa keindahan seni

SIDANG EDITORIAL

 

SENI BERBUDAYA: MENGANGKASA KEINDAHAN SENI DAN MANFAAT KEPADA KHALAYAKNYA

 

OLEH:

ENCIK ISMAIL AHMED

PENGARAH PUSAT KEBUDAYAAN USIM

 

          Tanggal 14 Mei 2014 usai pelancaran, bermulalah era baru sebuah unit kecil yang mendapat nama barunya sebagai Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia. Dua minggu sebelum itu, penulis menerima watikah pelantikan sebagai Pengarah, manusia yang ditakdirkan mengetuai Pusat Kebudayaan tersebut. Lumrah manusia pasti merasa gembira dan bangga mendapat pengiktirafan universiti dengan tertubuhnya Pusat Kebudayaan dan dilantik pula sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan. Namun apa yang berlegar didalam benak pemikiran bukanlah kebanggaan semata tapi ke manakah destinasi yang perlu dipacu agar mampu mencapai matlamat penubuhan pusat kebudayaan tersebut.Puas bermonolog dengan bermacam- macam idea dan gagasan maka jawapannya menjadi persoalan pula. Persoalan yang bukannya baru bermain di fikiran malah sejak hampir sepuluh tahun yang lalu.Persoalan tentang masyarakat dan seni yang melingkari kamus maknawi kehidupannya. Pengertian seni yang sepatutnya dijulang makna intrinsiknya dan bukan sekadar rupa tanpa nama atau sekadar penilaian gemilang suapan ekstrinsik sahaja. Adakah komuniti kampus dan masyarakat Malaysia mempunyai pengetahuan tentang peri pentingnya seni yang berbudaya atau ringkasnya seni yang mendatangkan manfaat kepada seluruh penggerak, khalayak, pekerja seni, masyarakat dan entiti- entiti yang bertanggungjawab sepenuhnya akan perjalanan seni di Malaysia. Seni yang berupaya membina akar yang berakal geliganya sehingga mampu menukar yang kosong kepada pengisian dalaman seorang manusia sehingga mampu merasai hubungan dengan penciptanya. Seni yang menelusuri akhlak yang baik dan membetulkan makna duniawi dengan menyeimbangkan pelaburan ukhrawi. Seni yang mampu mengangkasa sifat- sifat baik yang didalamnya terkandung segala intipati pengajaran tentang  kemanusiaan yang akhirnya membina tamadun akalnya.

          Kita perlu mengenali seni dalam konteks budaya yang baik sifatnya.Seni secara definasinya merupakan karya atau hasil kreatif yang dicipta dengan keindahannya yang tersendiri dengan disiplin-disiplin kreatif yang berbagai antaranya seperti seni persembahan, seni tampak dan seni halus. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,  karya seni ialah sesuatu ciptaan yang mempunyai nilai keindahan dan memberikan kepuasan cita rasa kepada khalayaknya.Seni yang mempunyai nilai ilmu yang boleh membangunkan akal budi khalayaknya. Sebenarnya, hasil seni telah lama melingkari kehidupan manusia.Karya seni atau hasil tangan manusia dikatakan wujud seawal 40,000 tahun yang lalu pada era Paleolitik. Seni terhasil daripada kreativiti manusia yang terkesan dengan alam dan budaya sekelilingnya. Sesiapa sahaja yang bernama insan seni pasti akan sangat sensitif akan budaya sekelilingnya. Setiap karya seni terhasil daripada pengamatan pengkaryanya yang tajam, halus dan lahir daripada alam dan budaya sekelilingnya.

          Budaya jika ditakrifkan secara mendalam bukan sekadar tingkah laku dan cara kehidupan manusia sahaja malah ianya jelas satu manifestasi kemajuan pemikiran manusia, mengajar manusia supaya berbudaya yang terikat dengan adab dan nilai yang baik dalam kelompoknya, suku kaum dan masyarakat sekelilingnya. Maka jika dikaitkan budaya dalam konteks seni, ianya merupakan cetusan hasil kreatif ciptaan manusia yang berupaya mengajar manusia lain berilmu, berfikir, berpengetahuan, beradab kita dan kenalinya sebagai seni yang berbudaya.Ini kerana seni yang berbudaya secara jelas dan halusnya mengajak manusia atau khalayak berfikir, berpengetahuan dan berdaya untuk memajukan masyarakat kerana ilmunya yang bermanfaat. Oleh kerana budaya itu sangat dinamik sifatnya yang mungkin bersifat positif (memberi manfaat) dan mungkin juga negatif sifatnya (mendatangkan kemudaratan) kepada masyarakat maka kita diberi akal untuk berfikir supaya dapat mengadili dengan bijaksana bagaimana menghindari seni yang tidak memberi manfaat seperti yang sering dihidangkan oleh media barat? Disinilah hadirnya Islam mengajar dan memberi panduan kepada kita, manusia ciptaanNya.Firman Allah S.W.T dalam surah At-Tinn ayat 4 memberitahu bahawa sesungguhnya manusia adalah ciptaan Allah S.W.T yang sebaik-baik kejadian. Manusia diberikan akal yang baik dan sihat dan mampu berfikir dengan kewajaran yang tinggi. Manusia kreatif atau insan seni sebenarnya merupakan insan yang dikurniakan Allah SWT bakat yang lahir bersamanya. Bakat yang kemudiannya diasuh dan diberi pendedahan supaya mengangkat karya seni ke tahap yang lebih tinggi, berestetika yang menjurus kepada memuji Rasulullah dan mengagungkan Allah SWT pencipta langit dan bumi dan seterusnya memberi manfaat kepada manusia yang lain.   

          Persoalanya bagaimana seni mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Ianya terletak kepada cara kita melihat dan mengambil inspirasi dan akhirnya menghidangkan kepada khalayak. Seni dikaitkan dengan keindahan.Maka kita perlu menilai maknawinya dengan ‘world view’ Islam.Memilih seni perlukan kebijaksanaan kita sebagai manusia sebaik- baik kejadian seperti ditegaskan dalam Surah At- Tinn. Barat tidak pernah mengaitkan seni dengan keindahan dan kebesaran tuhan. Sejak era Plato seni dikatakan hanyalah sebuah imaginasi dan tiada kaitan dengan kewujudan tuhan. Jean P. Satre pernah menegaskan bahawa:

 

The real is never beautiful. Beauty is a value applicable only to the imaginary end which means the negation of the world in its essential structure.

(Osborne, 1972:37)

 

          Barat sememangnya sangat kental dengan pemikiran eksistensialisme, sekularisme dan penegasan terhadap sifat keakuan yang teramat sangat. Namun penegasan ini sangat berlawanan dengan pandangan Richard Ettinghausen dalam artikel beliau mengenai pandangan Imam Al- Ghazzaliberkaitan keindahan (21-31):

 

“The beauty of the outer form which is seen with the bodily eye can be experienced even by children and animals, … while the beauty of the inner form can only be perceived by the eye of the ‘heart’ and the light of inner vision…”

 

          Oleh kerana seni itu akrab dengan keindahan, maka seni yang dihasilkan dengan ‘world view’ Islam akan mampu memberi manfaat kepada pencipta dan khalayaknya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

“Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.” 

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

 

          Maka seni yang berbudaya ialah manifestasi seni yang baik dan mampu memberi manfaat kepada manusia lainatau masyarakat agar mencintai ukhrawi manakala seni yang selain itu adalah sia- sia, sekadar hiburan dan mencintai duniawi semata- mata.

          Kita harus akui bahawa seni dan budaya sangat dinamik.Seni dan budaya juga tidak dapat lari daripada mengalami akulturasi. Kitalah yang perlu mengakomodasikan agar selari dan sesuai dengan konsep seni yang berbudaya. Manusia generasi baru yang mereka gelarkan sebagai X, Y dan bermacam lagi gelaran dimasa akan datang perlu mempunyai satu bentuk pemikiran yang mampu menilai seni yang berbudaya dan bukan sekadar melihat sensasi dan persepsi masyarakat sahaja. Bertambah dangkal jika seni yang dipinjam dari barat sekadar untuk dinikmati pesonanya. Mencintai seni samada tradisi mahupun kontemporari amat diperlukan oleh khalayak. Paling penting kesenian harus berperananbesar dalam mendidik dan menjadikan khalayak berbudaya. Sebagai contoh kesenian Dikir Barat  yang boleh disaratkan dengan ilmu yang mendidik khalayaknya. Pendikir tersohor seperti Halim Yazid banyak melahirkan karya yang mendidik khalayak dengan sentuhan kiasan dan makna tersirat. Menilai karya seperti ini kita perlu kembali melihat keindahan dengan ‘hati’ dan bukan sekadar luaran sahaja seperti yang ditegaskan oleh Imam Al-Ghazzali.Begitu juga lagu- lagu dengan pendekatan kontemporari seperti Penghujung Rindu oleh Jamal Abdillah yang dicipta oleh komposer terkenal Fauzi Marzuki dan liriknya oleh Lukhman S. Jika menilai dengan ‘mata dan telinga’ sahaja maka kita dengan jelas telah jauh dari menikmati maknawi intrinsiknya. Mencintai seni yang berbudaya itu adalah sebaik-baik hiburan yang sepatutnya kita nikmati supaya kita sentiasa di rahmati Allah S.W.T dan meletakkan seni sebagai alat untuk memberi, mendapat manfaat selain mendidik khalayaknya.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.