JENDELA GEMILANG 2018 | Pusat Kebudayaan USIM
PUSAT KEBUDAYAAN USIM JENDELA GEMILANG 2018 70 Ketika kumpulan kesenian saya diundang ke Indonesia pada tahun 2013 untuk membuat persembahan dikir barat mewakili Malaysia sempena Perhelatan Tamadun Melayu anjuran Provinsi Kepulauan Riau, hati saya sungguh runsing. Beberapa persoalan mulai bermain dalam benak antaranya bolehkah mereka menerima dikir barat? Bahasa percakapan apa yang mahu digunakan dalam persembahan nanti berikutan loghat Kelantan yang sinonim digunakan dalam kesenian ini? Mampukah dikir barat bersaing dengan kesenian-kesenian yang lain? Tak senang duduk saya dibuatnya sepanjang perjalanan ke sana menaiki feri dari Stulang Laut Johor Bharu ke Batam sebagai transit, dan barulah ke tempat acaranya di Tanjung Pinang. Turut terlibat, beberapa buah negara lain seperti Australia, Afrika Selatan, Kemboja, Filipina dan Singapura untuk mempersembahkan kesenian tradisional masing-masing. Saya simpan dahulu kesudahan pengalaman di atas bagi memberi laluan kepada pembaca sekalian mengenali apa itu kesenian tradisional dikir barat. Mengenali Apa Itu Dikir Barat Secara ringkasnya, dikir barat terdiri daripada seorang tok jogho, satu atau dua orang tukang karut, 15 orang awak-awak dan lima orang pemuzik iaitu pemain rebana ibu, rebana anak, canang, marakas serta gong. Dikir barat juga dikenali sebagai ‘seni lisan tidak bertulis’, memandangkan ianya tidak terikat dengan suasana, keadaan dan masa. Uniknya kesenian ini, ia sangat sesuai digandingkan dengan apa jua majlis sama ada secara formal atau pun santai lebih-lebih lagi tukang karutnya mampu menyampaikan mesej berkaitan sesuatu acara secara spontan dalam bentuk pantun Berbeza dengan kesenian tradisonal yang lain seperti makyong atau wayang kulit, yang dilihat agak terikat di mana setiap persembahan, ceritanya adalah yang sama diguna pakai sejak dari zaman dahulu. Sentuhan Inovasi Dikir Barat Air yang bertakung dan tak mengalir, lama-kelamaan akan menjadi keruh dan berbau. Begitulah halnya dengan seni dikir barat ini. Ia memerlukan inovasi atau penggubahan ‘kulit’ yang selari dengan keperluan semasa. Lihat rancangan komedi popular ‘Karoot Komedia’ terbitan Astro yang berkonsepkan dikir barat sebagai nadi program. Dari segi pemilihan lagu, gerak tari dan pakaian yang diketengahkan, ia amat kontemporari dan mengikut kepada kesesuaian tema atau tajuk sketsa pada siri tersebut. Sabri Yunus sebuah nama yang tidak asing lagi dalam industri seni bertindak sebagai tukang karut bijak dalam mengolah dan menyampaikan kesimpulan isi cerita. Dalam beberapa episod yang diterbitkan, saya berkesempatan untuk turut terlibat sebagai ‘apit duet’ dengannya mengarut secara spontan. Rakaman tersebut disiarkan dalam televisyen yang mana akan ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia, jadi sudah tentu saya berasa sangat takut dan risau sekiranya ada kesalahan yang saya terbuat lebih-lebih lagi kalau rima pantunnya tidak sama atau tidak kena dengan jalur cerita yang diketengahkan. Bertuahnya saya dapat menimba ilmu daripada otai terkenal itu. Beberapa jam sebelum rakaman, saya memerhati kepadanya dengan mata meliar. Beliau kelihatan tenang duduk di depan cermin dengan mulut terkumat-kamit. Sesekali beliau berbual dengan para pelakon untuk memastikan kesahihan jalan cerita, dan adakala juga mukanya berkerut memikirkan sesuatu. Oh, itulah rupanya yang dipanggil PERSEDIAAN! Paradigma saya berubah melihatnya, betapa persediaan sebelum persembahan sebenarnya amatlah penting tanpa mengira seseorang itu hebat atau pun tidak, orang lama atau pun orang baru. Ini bagi memastikan setiap patah perkataan yang dikeluarkan bertepatan dengan tema, dan mencapai maksud di samping humor yang diselitkan dapat diterima oleh khalayak penonton. Sungguh, saya mendapat kekuatan dari teladannya itu dan saya dapat lalui proses rakaman tersebut dengan jayanya. Bagi saya, jika sesebuah persembahan khususnya melibatkan seni tradisional, jika tiada atau kurang persiapan, akan menatijahkan hasil yang kurang baik seperti dipandang rendah masyarakat, nilai seninya juga akan menjadi murah. Ukuran ini penting sebenarnya, untuk mengukur sejauh mana kemajuan seni tradisonal kita dalam arus semasa. Menjadi Tukang Karut Bergelar seorang tukang karut, bukan mudah. Rosak tukang karut, rosaklah keseluruhan persembahan. Sebab itu dalam setiap siri persembahan, saya akan pastikan tema, konsep, jenis majlis, latar acara dihadam sebaik mungkin. Contohnya ketika membuat persembahan dalam kampus, sudah tentu ia memerlukan gaya dan laras bahasa yang berbeza dan dekat dengan khalayak termasuk penggunaan bahasa asing seperti, ‘Setiap orang lecturer carrymark dia tulis, Assignment kerja dia kena hantar pada tarikh, Tok soh (tak usah) pening kepala kalu (kalau) berasa tak boleh, Kita taip google jumpa bahan copy paste’. ‘Ramai ore kkecek (orang cakap) kena muet band tiga, Tidak tokleh grad walau tinggi pointer, As a standart cannot speak in bahasa, Or it can be reject you have to try speak multiple’ Habis sahaja saya menyanyikan bahagian itu, selalunya ia akan disambut dengan sorakan dan jeritan tanda mereka terhibur dan bersetuju. Tanyalah mana-mana pelajar USIM yang pernah mendengar lagu ‘Mahasiswa’ ini, yang saya ciptakan tahun 2013, pasti mereka tersenyum malu. Pengalaman Manis Di Indonesia, berbalik cerita awal tadi. Malam itu, kami ditakdirkan membuat persembahan pada giliran yang terakhir. Aduh, lagi bertambah beban! Ikut ilmu persembahan, graf momentum mestilah semakin lama semakin rancak dan mencapai klimaks, saya harus bijak mengawal keadaan demi mencapai tujuan tersebut. Kumpulan kami pun dipanggil. Saya menggerakkan jari menekan punat 'on’ microphone dan memulakan perbualan, ‘ibu-ibu bapak-bapak, siapa yang punya anak bilang aku, aku yang tengah malu, sama teman-temanku kerana cuma diriku yang tak laku-laku’, bersorak riuh penonton yang hadir ketika itu mendengar ucapan yang saya petik kata-katanya itu dari sebuah lirik lagu berjudul Cari Jodoh nyanyian band Indonesia terkenal Wali Band diiringi tepukan yang sangat gemuruh yang takkan saya lupakan sehingga kini. Setelah itu, saya teruskan lagi dengan lagu nyanyian dangdut ‘Pengalaman Pertama’ nyanyian A.rafiq, yang disampaikan dengan cara dikir barat ini dan sekali lagi mereka mengangkat tangan memuji-muji persembahan kami dan berkata, ‘Mau lagi pak mau lagi... Zul AfkarAl-Husna BinYusoff Inovasi dalamPersembahan Muzik Tradisional - Dikir Barat IKON SENI
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=