JENDELA GEMILANG 2018 | Pusat Kebudayaan USIM

PUSAT KEBUDAYAAN USIM JENDELA GEMILANG 2018 25 “Saya tidak nafikan Kekasih Awal Dan Akhir juga lagu yang baik tetapi ia lebih memenuhi cita rasa pendengar, tidak seperti Lagenda yang memenuhi cita rasa diri saya. Kekasih Awal Dan Akhir memang saya hasilkan untuk pendengar. Saya tahu apa yang Jamal Abdillah boleh persembahkan. Ketika pembikinan lagu ini, saya memang benar-benar berfikir tentang nyanyian Jamal, suaranya, lenggoknya. Saya juga bayangkan Jamal sedang menyanyi lagu baharu ini di atas pentas.” Tetap mahukan sesuatu yang baharu namun dalam masa yang sama kekal bersesuaian dengan zaman tersebut yang mengetengahkan rock kapak dan rock, hasil pengamatan dan pemilihan terhadap proses gubahan muzik lagu yang diserah kepada Jenny Chin@Nadirah Chin Abdullah dan penghasilan lirik oleh S Amir Sahab akhirnya ternyata menjadikan lagu ini antara yang masih popular sehingga kini. Ternyata Fauzi Marzuki tepat dalam setiap penghasilan karyanya iaitu memilih pengubah muzik yang betul untuk penyanyi yang betul, begitu juga lirik yang betul untuk lagu yang betul selain prinsip sentiasa melakukan yang terbaik serta penjiwaan untuk mendapatkan karya yang terbaik. Tidak menidakkan bahawa bakat yang dimiliki adalah anugerah Allah, beliau yang berkemampuan menghidu dan menilai kualiti sesuatu lagu bakal hit atau tidak mengatakan, “Untuk terbitkan lagu, keutamaan saya adalah menghasilkannya dengan rasa. Pendek kata, lihat bukan dengan mata, dengar pula bukan dengan telinga tetapi lihat dan dengar menggunakan hati.” Begitulah formula yang ditekankan dalam naskhah seninya seperti Penghujung Rindu (nyanyian Jamal Abdillah), Pada Syurga Si Wajahmu (Nash), Teringin (Syima), Kian (Mawi) dan sebagainya. Lagu-lagu ini kebanyakannya mendapat tempat bahkan masih menjadi siulan dewasa ini. Dimensi Karya Dahulu dan Hari Ini Menurutnya, sebenarnya tiada beza antara lagu dahulu dengan sekarang. Lagu hakikatnya berputar seperti roda. Ia bersilih ganti mengikut peralihan era atau berlaku kombinasi lagu lama yang dibaharukan. Baginya, lagu sekarang dikatakan atau didakwa “kurang berkualiti” disebabkan pendengar atau generasi yang beranggapan tersebut tidak membeli bahkan tidak mengambil tahu perkembangan lagu terkini apatah lagi tidak bernastolgia pun dengan lagu baharu. Sebaliknya, mereka masih bernastolgia dengan lagu yang pernah diulang dengar ketika zaman membesar. Natijahnya, lagu tersebut masih menjadi lagu yang kuat di ingatan sekali gus merasakannya sebagai lagu terbaik. Hakikatnya, seiring dengan peredaran masa, industri muzik kontemporari juga memiliki lagu-lagu yang baik cuma hakikat yang perlu diakui, pasaran muzik juga berubah. Kini tidak ada lagi fizikal CD (cakera padat) kerana industri telah beralih kepada muat turun. Begitu juga, dari segi penerbitan lagu atau album. Tiada lagi cetakan album yang memuatkan 10 buah lagu, sebaliknya artis menerbitkan single sahaja sekarang. “Persoalannya, jika lagu sekarang juga setanding lagu dahulu, kenapa pula lagu tersebut tidak kekal seperti kebanyakan lagu dahulu? Mungkin ini yang lebih sesuai diperkatakan.” “Artis dulu memiliki pengalaman dari segi suara, penyampaian dan teknik. Jika ada show (jemputan persembahan) pula, mereka kuasai teknik berkomunikasi dengan orang ramai. Dari aspek penerbitan lagu pula, setiap rakaman atau lagu yang dilakukan akan dipantau oleh A&R Manager, Pengurus Artis dan reportoire yang memantau kualiti muzik, penampilan artis dan kualiti pasaran dan penelitian lain.” “Sekarang, recording (rakaman) dilakukan sendiri di rumah (Home studio). Sesetengah penyanyi merasakan lagu itu baik, tetapi sayangnya mereka tidak punya second atau third opinion .” “Ramai artis yang tumbuh tetapi tidak hidup lama. Meletup sekejap dan tak bertahan lama, itu yang saya perhatikan. Karya hari ini juga banyak dibantu teknologi. Nyanyian sumbang dapat dibetulkan. Akhirnya, lagu yang dipersembahkan tidak dapat disampaikan sebagaimana nyanyian dalam album. Ini satu masalah!!” “Artis perlu dapat lagu yang baik. Untuk bertahan lama, artis juga perlu menyiapkan diri sebagai produk, bukan bergantung kepada lagu semata-mata. Karisma dan penampilan perlu dibina supaya masyarakat juga cenderung meminati atau meneladani diri atau aktiviti yang dilakukan. Artis perlu ada nilai tambah,” tambahnya tegas. Karya Malar Segar “ Up-to-date . Perlu follow trend . Dulu analog, kita analog, sekarang digital, kita ikut digital. Jangan malas, jika tak lupakan saja, dalam industri ini, kita hasilkan karya untuk orang muda. Golongan pertengahan umur atau yang sudah berkahwin, ada priority (keutamaan) baharu dan berbeza.” Ujarnya ketika ditanya tentang pandangan untuk kekal relevan dalam industri muzik hari ini. “Sama juga dalam apa jua pengeluaran seperti lukisan dan barangan elektronik. Fokus kepada pembeli yang rata-ratanya orang muda dan berkawanlah dengan mereka. Saya sendiri berkawan dengan orang muda. Kenapa? Kerana saya ada pengalaman tapi mereka ada new idea . Ambil tahu cita rasa lagu orang muda dan fokus kepada mereka yang hargai karya kita.” Selangit Harapan Terhadap Industri Tidak mahu generasi hadapan memperkecilkan apatah lagi memandang rendah kualiti lagu yang ada hari ini, beliau serius mengambil tanggungjawab dan peranan mengekangnya melalui inisiatifnya sendiri. Berpimpinkan pengalaman emas yang dimiliki, karyawan ini akan berusaha menjaga kualiti penerbitan muzik yang dihasilkannya sendiri begitu juga dengan penerbitan lagu pengkarya lain. Buktinya, meski sudah menjengah usia 64 tahun, beliau turut tidak ketinggalan aktif di laman sosial. Platform yang ada menyaksikan dirinya sentiasa tidak kering idea berkongsi tips, nasihat dan komentar tentang muzik kepada pengikutnya. Baginya, dapat berkongsi pelajaran hasil pengalaman sendiri adalah satu kepuasan dan menjadi sumbang bakti yang diharapkan membantu para pengikutnya terutamanya anak-anak muda yang berminat dan cenderung dalam dunia nyanyian dan penerbitan lagu.. Tiada istilah malu atau segan ketika menerima muzik yang dihantar untuk diperdengarkan kepadanya. Sebaliknya, setiap kritikan dan saranannya adalah untuk memastikan muzik Malaysia sentiasa diperbaiki dipelihara dan di majukan. Persoalan segelintir masyarakat yang sering mempertikaikan keupayaan muzik Malaysia yang masih tidak menembusi peringkat antarabangsa (international), beliau jelas memberitahu bahawa muzik dan kualiti lagu Malaysia perlu terbaik dan mendapat tempat di dalam negara sendiri dahulu. Menurutnya, di sinilah peri pentingnya pantauan dan teguran orang berpengalaman.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=