JENDELA GEMILANG 2018 | Pusat Kebudayaan USIM
PUSAT KEBUDAYAAN USIM JENDELA GEMILANG 2018 24 KARYAWAN SENI Prinsip Hidup “Moto saya sejak kecil, jika hendak bermain muzik dan apa sahaja, lakukannya dengan sebaik dan semaksimum mungkin. Pendek kata, tiada istilah melakukan sesuatu tugasan separuh jalan, sebaliknya sudahkan segalanya sampai jadi! Genggam bara api biar sampai jadi arang!” Di sebalik kejayaannya sebagai seorang pemuzik dan komposer, itulah prinsip yang kuat tertanam dalam dirinya. Baginya, kita sentiasa memiliki pilihan. Andai kata diri tidak ada persediaan, tiada kepakaran, tiada sumber bahkan tahu bahawa diri yang tidak berkemampuan untuk menyempurnakannya sesuatu perkara, maka usah lakukannya. Begitulah sebaliknya. “Do if you can and do it the best you can,” katanya lagi. Fauzi Marzuki Perjalanan Seni FAUZI MARZUKI bukanlah nama yang asing dalam dunia penerbitan lagu tanah air. Ternyata darah seni mengalir dalam dirinya sejak kecil lagi. Buktinya, beliau telah mula bermain muzik ketika seawal usia 12 tahun. Menginjak ke alam remaja pula, minat terhadap muzik mula ditumpahkan dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti band dan banyak bertanya dengan orang orang yang berpengalaman. Bermula dengan pelbagai band dari bermain di bawah khemah sehingga lah menganggotai kumpulan Electric Organism. Dengan band ini beliau mula bermain di kelab malam yang mendedahkan beliau dengan pelbagai jenis muzik, termasuk bermain lagu-lagu dari “Top 40” hingga ke lagu China. Selepas band Electric Organism berpecah, beliau dan beberapa rakan rakan menubuhkan kumpulan baru bernama “Discovery”. Discovery merupakan band yang berjaya membuka dan memberi ruang kepada dirinya untuk aktif membuat persembahan ketika masih hijau dalam industri muzik. Sejarah dan rekod baharu juga dicipta apabila band ini berjaya menerbitkan sebuah album bersama EMI (1976) yang menampilkan beberapa lagu hit seperti Katak Lompat, Penghibur dan Di Malam Sepi. Tidak cukup dengan itu, Discovery juga menjadi wadah baginya untuk mula berjinak-jinak dengan dunia balik tabir seperti proses rakaman, penerbitan dan pelbagai lagi. Meski mula berpecah pada tahun 1978, beliau tidak pernah berundur sebaliknya terus melangkah dengan menganggotai kumpulan yang mengiringi Anita Sarawak. Pelbagai pengalaman baharu ditimba menerusi peluang membuat pertunjukan di pelbagai negara seperti Jepun, Hong Kong, Manila, Singapura dan Australia. Benarlah kata pepatah, jauh berjalan luas pemandangan. Beliau terus didedahkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan rakaman dan penerbitan album. Berbekal lautan pengalaman yang ditimba, beliau dilantik pula sebagai Pengurus A&R di syarikat EMI Malaysia pada 1983. Maka dengan sentuhannya, lahirlah album Aman Shah (Adikku Pandai Menari), Noor Kumalasari (Mata), Anita Sarawak (Antara yang Manis) dan banyak lagi. Beliau juga merupakan salah seorang individu awal yang terlibat dalam pembentukan syarikat MACP Berhad ini dulunya juga berpeluang menimba pengalaman bekerja di beberapa studio terkenal dunia. Antaranya di Abbey Road Studio, London untuk menerbitkan album arwah Sudirman Hj. Arshad dan Toshiba EMI Studio di Tokyo untuk album Sheila Majid dan di Los Angeles untuk album Anita Sarawak. Melihatkan kepelbagaian ini, ia sekali gus layak mengangkat beliau sebagai penerbit muzik yang versatil atas kapasiti pengalamannya dalam merakam pelbagai genre muzik sama ada pop, rock, traditional dan sebagainya. Hampir empat tahun menjadi penerbit album bebas, pada tahun 1997, beliau meneruskan langkah seninya sebagai Pengurus dan Jurutera Audio di sebuah studio tercanggih di rantau Asia Tenggara iaitu Synchrosound Studio yang merupakan antara lima studio terbaik dunia pada masa itu. Kini, selain berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di ASWARA, beliau sudah boleh menarik nafas bangga dengan lahirnya studio sendiri yang diberi nama Fauzi Marzuki Productions. Tidak hanya menerbitkan album tempatan, Fauzi Marzuki Productions bahkan aktif mencipta lagu korporat seperti lagu Petronas, Kementerian Kewangan dan banyak lagi. Pengaruh Seni Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, beliau juga membesar seperti kanak-kanak lain yang penuh dengan dunia bermain. Namun bezanya, dunia kreatif telah ditanam dalam diri. “Ketika di tingkatan satu, saya asyik melukis gambar gitar di beg sekolah. Saya yakin pada umur tersebut, saya sudah tunjukkan cinta dan bakat, dan saya yakin Allah telah mentakdirkan saya agar menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap muzik di Malaysia dan nusantara.” “Tidak kira walau apa jua yang kita usahakan atau terjemahkan sama ada lirik, lagu, lukisan, penciptaan barangan dan sebagainya. Segala yang kita lakukan memerlukan seni.Untuk memperoleh seni yang baik, kita perlu ada bakat, kesungguhan dan menyukai perkara yang dilakukan. Gandingan tiga elemen ini akan membantu kita untuk melakukannya dengan sepenuh hati sekali gus menghasilkan yang terbaik,” ujarnya. Karya Bermakna Terbit dari Hati Dalam senarai lagu yang pernah dihasilkannya,orang awam kebiasaannya akan memilih lagu Kekasih Awal Dan Akhir sebagai pilihan pertama mereka. Namun berbeza dengannya, lagu ciptaannya yang menjadi naskhah seni paling bermakna ialah Lagenda nyanyian Sheila Majid. “Untuk diri sendiri, Lagenda adalah lagu pilihan pertama saya setelah Kekasih Awal Dan Akhir. Kekuatan muzik, nyanyian, arrangment dan pelbagai lagi menjadikan lagu ini sangat hebat dan sempurna.”
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=