JENDELA GEMILANG 2018 | Pusat Kebudayaan USIM

Atau pun saya mencari seniman yang baik suara dan tuturannya. `Sedap manis’ seperti kata Hikayat Hang Tuah. Mereka ini akhirnya menjadi pemikir dunia yang cuba mempersoalkan isu yang mengganggu kita sebagai manusia. Murasaki Shikibu, Kawabata dan Oe dalam sastera Jepun yang saya pelajari dalam kelas sastera bandingan yang diberikan Edward Seidensticker. Sayang, di China saya tidak ditunjukkan genius sasteranya, tetapi dibawa ke makam Mao dan `Great Wall` serta Istana. Tapi itu pun saya cari di beberapa buah negara. Genius juga ada pada senibina batu Peru dan China, Yunani serta Morokko. Kita dapat membaca seni dan sains pembangunan pada kota dan binaan yang ditinggalkan kepada kita hari ini. Juga di antara yang saya cari ialah seni dan sastera yang halus dan tinggi pencapaiannya. Di Thailand, Jepun, Indonesia dan juga India. Mereka ini, secara tidak sedar menjadi alter ego saya, yang ingin saya jadikan contoh kejayaan untuk dipelajari dari kehalusan dan keberanian mereka. Saya mencari tamadun yang sejumlah kejayaan pemikiran, seni dan sastera dan manusia contoh yang menjadi penunjuk jalan. Saya mencari segi dan kelainan yang selalu membuat saya gembira melihat inovasi serta ketajaman mata seni mereka. Saya menonton kabuki dan wayang kulit Jawa dan di Bali pula saya sering menonton drama Shakespeare dan Samuel Beckett, Brecht dan Pinter. Saya juga sering digoda oleh tarian-tarian yang berbagai-bagai bentuk dan gayanya dari Vietnam hinggalah ke Thailand dari India ke Indonesia dan Vietnam. Juga menjadi kebiasaan saya untuk mencari karya klasik atau mutakhir sesebuah negara. Saya membaca dan sebahagiannya dalam terjemahan. Jadi dalam perjalanan fizikal ada pula penerokaan di lorong-lorong imaginasi dan seni oleh budayawan tempatan. Saya akan mencari terjemahan Transtromer, Heine, Guntergrass, Baudelaire, Hugo serta Rambaud. Oleh itu saya menikmati sesebuah negara di peringkat fizikal, intelektual dan juga seninya, pengalaman begini sangat mengasyikkan. Saya juga suka mengembara ke kampung di Jaipur, atau di Hanoi, terutama di penempatan orang Asli mereka. Saya ke kampung orang Asli di sekitar Adelaide dan juga di Vietnam (beberapa suku Champa dan Ede, yang berketurunan Melayu-Polinesia.) Saya ke hulu Sungai Banjarmasin untuk bercakap-cakap dengan penduduk berdarah Maayan, yang dikatakan telah belayar ke Madagaskar sekitar 1000 tahun yang lalu. (Fakta baru mengatakan mereka lebih banyak menggunakan bahasa Melayu). Tapi saya suka berjalan di batas sawah, atau meniti jauh di atas jambatan buluh ke pendalaman untuk merenung gunung, misalnya di Van Viang, di Laos atau di daerah muara sungai di selatan Vietnam. Kyoto dan Ohara serta Kamakura menyimpan istana-istana oleh bangsa yang halus dan bangga-budaya ini. Semuanya dengan keunikannya. Di Meksiko saya sedar bahawa ada tamadun alternatif dan lebih tua daripada yang wujud di Barat. Sejak berkurun kita diajar oleh penjajah dan orang Kaukasian bahawa tamadun merekalah yang paling agung. Tetapi kembara saya membawa bukti pejal bahawa orang Meksiko dan Peru juga sangat canggih dalam seni bina dan tamadunnya. Di Eropah dan sekarang di Asia, budaya dan cara kota sangat mendominasi kehidupan penduduknya. Oleh yang demikian saya sering menulis tentang kejayaan dan pembangunannya. Tetapi kembara saya juga sering membawa saya ke desa dan dunia alamiahnya bersama susunan dan bentuknya yang berlainan. Namun saya mengaku bahawa sesekali saya juga diajak mencari istana-istana Asia di Jogja, Solo, Medan, Meksiko, Korea, St. Petersberg dan juga Honolulu. Di sana saya dihadiahkan wajah masa sudah yang gemilang. Sering juga di belakang gunung dan kota dunia, saya menemui diri sendiri. Di dalamnya ada jati diri saya sendiri dan isu-isu sarwajagat. Kembara menjadikan pengembaranya pemikir, perasa dan perenung tamadun. Inilah penemuan yang tidak dapat dibeli dengan wang. Seorang pengembara harus berada di sana, di tempat kembaranya dan meraih pengamalan itu. Inilah tujuan kembara yang saya letakkan di peringkat yang paling tinggi dan mulia. Dalam kembara saya membawa sekantung pengalaman dari negara sendiri, atau pun juga dari negara-negara lain yang pernah kita lawati. Dalam sebuah perjalanan terkini kita membawa sejarah seorang pengembara dan secara tidak sedar, kita membandingkan semuanya, dari negara sendiri dan juga dari negara-negara lainnya. Di hujung perjalanannya kita membuat kesimpulan dan juga belajar daripada kehidupan. Sebagai cenderamata saya membawa pulang ukiran kecil dan besar, termasuk dari zaman Mahajapit, dari Jambi, Jember, Jogja dan Padang. Saya juga mengumpul permadani kecil orang Navajo, dan Peru. Saya suka kain Hawaii serta batik yang dibuat dengan warna tempatan di Jambi mahupun di Benghulu. Saya mengumpul kain-kain indigo dari Thailand dan Jepun. Tapi saya sangat banyak mengumpul pena 50 batang pena dari seluruh dunia. Antara yang menjadi kebanggaan saya ialah kumpulan mesin taip lama ada lebih daripada 20 kesemuanya dari sejak kurun awal ke-20 di samping berpuluh-puluh tenunan tradisional dari Indonesia, Filipina dan Peru. Kini kaki saya sudah menjejak ke 70 buah negara semuanya. Kepada orang muda saya cadangkan kembara yang panjang untuk mencari diri dan dunia. Inilah cara yang paling baik dan bermakna. (Esei ini ialah versi baru kepada Prakata buku Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair. (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2019). PUSAT KEBUDAYAAN USIM JENDELA GEMILANG 2018 23

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=