JENDELA GEMILANG 2018 | Pusat Kebudayaan USIM

PUSAT KEBUDAYAAN USIM JENDELA GEMILANG 2018 22 Saya ke Britain pertama kalinya pada tahun 1962 untuk mengikuti kursus pendidikan di Maktab Brinsford, di sebuah desa kecil. Namun dunia Eropah yang berbagai-bagai itu sampai juga ke maktab dan imaginasi saya. Maka saya pun menyeberang Selat Inggeris, dan terus mengembara (sendirian) di Benua Eropah ke negeri seperti Perancis, Switzerland, Jerman, Belanda dan Belgium. Sewaktu saya pulang ke Malaysia pada tahun 1964, saya sudah digigit kutu perjalanan yang susah diubati itu. Enjin kembara terus berdetak dan mengaum dalam diri saya. Setelah pulang saya menyambung pelajaran di Singapura dan menjalankan penyelidikan sastera di seluruh Indonesia. Ilmu yang saya cari dari bidang Sastera Bandingan tidak diajar di Malaysia. Oleh yan demikian saya harus mencarinya di Amerika Syarikat. Pencarian inilah yang membawa saya ke Ann Arbor, Michigan pada tahun 1970. Kami singgah di Hongkong dan Hawaii yang sangat mengesani saya. Amerika sangat luas dan mencabar saya keluasan ini. Saya cuba pastikan bahawa saya menjejak kaki ke semua negeri di sana. Namun tujuan saya tidak tercapai sepenuhnya, tetapi setelah 10 kali ke U.S. saya hampir sampai ke semuanya termasuk Iowa, Tennessee, Arkansas, Nevada, California, Arizona, Texas, Montana, New York, Pennsylvania, North Carolina, Massachusetts, New Hampshire dan Maine. Sekali digigit kutu kembara kita tidak akan berhenti bergerak. Sudut dunia yang belum kita lawati, dari jauh melontar kelainannya. Tapi hampir semua negara ini ialah dunia barat. Saya masih belum sampai ke Utara dan Selatan Afrika dan Polynesia. Namun sejak 2007 saya diberikan oleh Dewan Budaya sebuah ruang untuk melakarkan kembara ini. Hadiah ini saya syukuri kerana banyak yang terlintas di depan mata, akal fikiran dan juga perasaan yang saya rasakan sebahagiannya adalah untuk pertama kalinya. Saya bertemu dengan manusia baik dan jahat, dangkal dan dalam marah dan sedih serta ratusan jenis yang lainnya. Sebahagiannya telah saya turunkan dalam bentuk sajak secara berasingan atau travelog. Di Asia, yang saya temui ialah sejulat budaya dan sederet tamadun yang dipengaruhi China pada awalnya, tetapi muncul sebagai tamadun tersendiri yang sangat peka manusia, dan berbahasa serta bersastera sendiri. Jepun dan Korea termasuk dalam kumpulan ini. Vietnam dan Laos lebih cair pengaruh Chinanya dan watak tempatan lebih menyerlah. Thailand dan Indonesia yang dulunya beragama Hindu dan Buddha kini sangat berlainan daripada sumber pengaruh awalnya. Kedua-dua negara ini ialah budaya besar dan unik. Apakah yang saya cari dalam perjalanan ini? Saya suka alam yang indah dan luar biasa, luar dari biasa Malaysia. Saya kagum dengan Teluk Hanoi dan cakerawala batu kapurnya, dengan laut yang teduh dan tidak banyak alunnya. Ke selatan sedikit di Nha Trang pantai bertebar pasir cantik dan lengkung teluk yang sangat indah. Di Thailand keindahan yang sama juga saya temui. Ada dunia batu kapur dan laut di tengah-tengahnya di Kepulauan Phi-phi. Di sana kita diajak berhenti dan melihat, merasakan basah pasir di kaki dan renungan langit di mata. Selain alam saya juga kagum dengan seni bina rumah, balai, kuil serta rumah suci. Di Mesir ada tanda zaman dan tamadun pada batu-batu dan gua piramidnya. Di Alexandria ada tanda bahawa bangsa pembaca dan bukunya dikumpul serta di simpan. Ke Fez di Morocco kita ditunjukkan universiti terawal yang dimulakan oleh seorang wanita Fatimah al-Fihri. Di Athena pula ilmu dicatat dan ditulis untuk generasi akan datang, begitu juga di Itali, England, Perancis, Sepanyol dan Portugal. Saya kagum dengan perpustakaan dan tradisi ilmu negara-negara ini. Saya juga mungkin menjadi pewaris keturunan daripada ilmu mereka, walau pun saya tidak menyedarinya. Oleh yang demikian saya melawat Perpustakaan British, SOAS dan Asia Society dengan penuh ghairah seorang pengumpul buku. Saya ke Cambridge dan Oxford and Edinburgh untuk mencari mansukrip Melayu dan Indonesia terawal. Manakala di Manchester terdapat sebuah perpustakaan yang indah berukir iaitu John Rylands Library. Di sini kita dapat membaca beberapa manuskrip Melayu lama. Saya mencari genius bangsa-bangsa yang saya lawati. Mereka mungkin pemikir dan ahli falsafah tersohor seperti Plato dan Aristotle, Nietzsche dan Goethe, atau penulis yang tajam mata pemerhatiannya seperti Henrick Heine dan Thomas Mann atau yang nakal seperti dramawan Bertolt Brecht. Saya sediakala mencari rumah, perpustakaan dan bukti tulisan tangan serta pesekitaran hidup penulis seperti Tolstoy, Dostoevsky, Frost, Dickenson dan Shakespeare, Keats dan Coleridge, di Rusia, Amerika Syarikat, dan England. Di Jakarta saya ke rumah dan kuburan Chairil, Amir Hamzah, dan Trisno Sumardjo. Di sana saya berkata-kata dengan mereka tanpa suara dan mengucapkan terima kasih saya kerana mereka kerana telah memberikan dunia pemikiran dan lukisan manusia yang sangat indah dan tepat. Kehidupan selalu mengajak saya meninggalkan ruang sendiri dan membawakan saya ke dunia lain dan tamadun lain. Dan saya tidak saja menjadi seorang pengembara jasadiah, tetapi tetapi juga pengembara simbolik. Apakah ini semua terjadi kerana dari sejak kecil lagi keluarga saya tidak menetap di suatu tempat, tetapi berpindah-randah. Setelah itu saya juga turut berpindah ke sekolah di luar pekan dan kampung permastautin saya. Apabila saya mula dewasa peluang lain pula mengajak saya terus keluar dari keselesaan asal. Saya diterbangkan ke banyak buah negara, sebagai pelajar, pensyarah, penyelidik, felo, peserta seminar, mewakili universiti dan kerajaan. Profesor Emeritus Dr. Muhammad haji Salleh Sasterawan Negara Kembara Seputar Benua yang Lima EDITORIAL TAMU

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=