Alumni

Muhammad Fawaz Nor Rashid

Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian

Fakulti Ekonomi Dan Muamalat

Graduan: 2007-2011

           

Ahli Kumpulan Teater ATRA

Kerjaya sekarang : Pengarah Urusan Perniagaan Bateri Fawwaz

(Automotif spare-part) dan Co-Partner Reds Corner (Restaurant)

 

          Saya menyertai Pusat Kebudayaan pada tahun 2009 dengan menganggotai Kumpulan Teater ATRA bermula dengan produksi teater Nur Muhammad. Merasa teruja  dan seronok bekerjasama dalam bidang dan pengalaman yang baru. Terlibat dengan kumpulan ATRA memberi saya pengalaman yang sukar dilupakan kerana kami sama-sam berkongsi idea dan sentiasa mempercambahkan pandangan untuk memperbaiki mutu persembahan kumpulan.

          Ilmu sebegini memberi saya keyakinan untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja dan ianya memberi impak yang paling bermakna untuk urusan perniagaan yang saya ceburi kini.

          Pusat Kebudayaan banyak memberikan saya kenangan manis sebagai penuntut dan banyak memberi nilai tambah dalam kualiti hidup saya sebagai graduan USIM. Jutaan terima kasih untuk semua ahli Pusat Kebudayaan yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang saya menjadi ahli UKP.

 

 

 

 Tengku Faizah Tengku Yusop

Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Graduan: 2009 – 2013

 

Ketua Ejen Berita 2011-2013

Kerjaya sekarang: Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

 

          Mengimbau kembali penglibatan dalam kumpulan teater ATRA, saya berperanan sebagai Penolong Pengarah bagi rakaman klip video ‘Jiwa Berpadu’ di bawah seliaan Cikgu Aleong Silalahi tahun 2011. Manakala pada tahun berikutnya, ATRA telah menempa nama dalam Festival Teater MAKUM 2012 dengan mendapat Tempat Ketiga menerusi teater ‘Preh’.

          Teater bukan hanya sekadar pelakon dan bagaimana seseorang itu mampu menguasai watak, malah seluruh krew produksi adalah amat penting bagi menjayakan sesebuah pementasan. Seni budaya teater mempunyai nilainya yang tersendiri. Melalui teater, keberanian, kesungguhan serta keyakinan dapat dibina dan dipupuk dalam diri seseorang. Itu yang saya peroleh ketika saya telibat sebagai ahli kumpulan teater ATRA.

          Menyertai Urus Setia Kesenian Pelajar pada tahun 2010 ketika menuntut di tahun 2 pengajian banyak membantu memberi nilai keberanian untuk saya bersua serta bercakap dengan orang ramai.  Melalui ATRA khususnya, ia telah membentuk saya menjadi lebih yakin untuk bercakap dan yakin berinteraksi dengan pebagai golongan khususnya semasa menuramah golongan atasan dan sebagainya. Malah ianya merupakan latihan yang cukup efektif bagi membentuk nilai keperibadian seseorang.

          Tidak dinafikan bahawa Pusat Kebudayaan merupakan wadah peluasan untuk pelajar menimba ilmu kesenian dan pengurusan khususnya dalam melahirkan dan menggilap insan-insan yang berbakat.  USIM kini telah banyak menempa nama di dada akhbar tempatan ke arah melahirkan generasi celik ilmu, lengkap dari segi Aqli dan Naqli. Generasi kelahiran USIM rata-rata dilihat mampu menepis anasir-anasir jahat di samping bergerak maju, seiring dengan cabaran globalisasi masa kini. Sumbangan pemikir serta ilmuan Islam daripada Universiti Awam ini semakin mendapat tempat serta turut dipandang tinggi masyarakat dan saya percaya USIM mampu melahirkan pemikir serta ilmuan Islam kelak.

 

 

 

 

Noor Haidan Tamin 

Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran)

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Graduan : 2004 -2008

 

Ketua Kumpulan Teknikal 2006-2008

Kerjaya sekarang : Penerbit TV Al Hijrah

 

          Sudah tentu perasaan pertama kali menyertai menyertai Urus Setia Kesenian Pelajar sangat teruja dan gembira kerana ia merupakan peluang yang ditunggu-tunggu oleh saya kerana ia satu-satunya persatuan pelajar yang bernaung di bawah Pusat Kebudayaan. Bukan hanya setakat mengejar atau mengumpul sijil sahaja malah ia memberi suatu pengalaman yang luar biasa terhadap sesiapa yang menyertai badan pelajar ini.

          Saya telah dilantik sebagai Ketua Teknikal UKP dan ia merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang berat bagi saya kerana setiap acara yang dianjurkan hendaklah berjalan dengan lancar di samping bertanggungjawab mengawal selia setiap gerak kerja yang telah diberikan. Alhamdulilah selama menjawat tugas tersebut dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada pegawai Pusat Kebudayaan, ia memberi saya suatu pengalaman yang hebat dan menarik khususnya selepas saya bergraduasi.

          Sejujurnya, walaupun kita menyertai dimana-mana kelab di universiti sekalipun, ia sedikit sebanyak memberi kita pengalaman yang berharga selepas bergraduasi. Sememangnya cabaran kerja di luar sana sangat hebat khususnya persaingan daripada graduan universiti-universiti lain. Hanya pengalaman, kecekapan dan ilmu ketika menguruskan acara yang dianjurkan ketika di Universiti dahulu memberi kita sedikit sebanyak kelebihan apabila memohon kerja.

          Apa yang telah lalui dulu sangat berkait rapat dengan kerjaya saya sekarang dan sesuai dengan jurusan komunikasi penyiaran. Bidang penyiaran dengan teknikal tidak boleh dipisahkan. Setiap program yang dihasilkan hendaklah beserta dengan timeline yang telah ditetapkan dan sudah menjadi tangungjawab kita dengan baik tanpa sebarang gangguan.

          Saya dedikasikan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Pusat Kebudayaan, En. Ismail Ahmed, Pn. Rozihani dan Pn. Arohiyah kerana dengan tunjuk ajar serta bimbingan semasa saya di USIM. Sesungguhnya ilmu yang telah diberikan amat saya hargai dan akan dikenang sampai bila-bila. Masih berbekas dalam jiwa segala kenangan dan pengalaman yang dilalui dahulu.  Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada USIM kerana telah mendidik hingga saya berada industry penyiaran seperti mana ijazah yang dimiliki.

‘Jazaakumullah Khairan Katsiran Wa Jazaakumullah Ahsanal Jaza

           

 

 

  

 Alauddin Yahaya 

Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah

Fakulti Al Quran dan Sunnah

Graduan: 2008 -2012

 

Ketua Kumpulan Muzik Moden 2010-2012

Kerjaya sekarang: Guru SK Taman Medan, Petaling Jaya

 

          Alhamdulillah syukur saya tidak ternilai kerana di jodohkan bertemu dengan Pusat Kebudayaan semasa belajar di USIM. Banyak ilmu-ilmu kehidupan yang boleh saya ambil semasa menyertai atau program yang dijalankan oleh Pusat Kebudayaan USIM antaranya semangat berpasukan, keyakinan diri, bijak membahagi masa dan matang menghadapi masalah.

          Saya mula menjadi salah seorang ahli Urus Setia Kesenian Pelajar Pusat kebudaayan USIM pada tahun 2008 sehingga tahun 2012 dan dilantik sebagai Ketua Kumpulan Muzik Moden pada tahun 2010. Sepanjang tempoh saya bergiat aktif dalam Kumpulan Muzik Moden banyak ilmu dan pengalaman berharga saya perolehi yang menjadi bekalan dalam melayari alam kerjaya sebagai guru. Elemen muzik yang dipraktikan di dalam kelas sangat mempengaruhi minat murid untuk belajar dan memahami sesuatu pelajaran dengan lebih mudah. Saya sangat gembira dan berbangga menjadi ahli keluarga Pusat Kebudayaan. Saya berharap dan mendoakan semoga Pusat Kebudayaan USIM akan terus maju dalam melahirkan generasi yang melestarikan Ilmu Naqli dan Aqli.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.