Sastera Melayu

 EDITORIAL TAMU 

 

SASTERA MELAYU DALAM SASTERA DUNIA

 

OLEH:  

PROFESOR MADYA DR. MAWAR SAFEI

  UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

 

          SEDARKAH saudara, antara kecenderungan pemilihan penerima hadiah sastera tertinggi di dunia iaitu Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan adalah masukkan tradisi bangsa yang dihasilkan pengarang berkenaan. Perhatikan apa antara kesendengan pemilihan atau penilaian seawal Frederick Mistral (Perancis) dan Jose Echegaray (Sepanyol), penerima hadiah untuk tahun 1904.  Antaranya, Frederick Mistral adalah kerana karya garapannya mencerminkan persekitaran semula jadi dan semangat asli bangsanya; sementara tulisan Jose Echegaray didakwa membangkitkan semula tradisi-tradisi drama Sepanyol yang terhebat secara tersendiri dan asli. Begitu juga dengan senarai panjang penerima dari Amerika Latin yang masyhur dengan narasi daerah mereka. Nama-nama dalam senarai panjang itu seperti Gabriela Mistral (1945), Miguel Angel Asturias (1967), Pablo Neruda (1971), Gabriel Garcia Marquez (1982), Octavia Paz (1990) dan Mario Vargas Llosa (2010). Menempa sejarah sendiri dalam karya dan diiktiraf sehinggalah pada penerima terkini, seperti Herta Muller (2009) yang memerankan perjuangan melawan kekuasaan, kediktatoran dan tirani komunisme di negaranya, Jerman.

          Ya, mereka antara juara kesusasteraan dunia yang kembali ke akar tradisi bangsa sendiri dalam penukangan karya. Menguasai kesusasteraan milik peribadi, rata-rata dilihat sebagai satu tuntutan; sebelum sebarang kerja penyeberangan atau perentasan dilakukan dengan kesusasteraan luar. Kesusasteraan Melayu ternyata tersaring daripada pemikiran dan kebudayaanbangsa yang menjadi sumber acuannya. Pemikiran dan kebudayaan Melayu ini pula akrab dengan sekitaran dan alam, yang rata-rata menjadi dasar kepada penglahiran karya sastera. Cuaca yang menjadi latar, manusia dan haiwan yang menjadi watak, begitu juga tumbuhan yang mengindahkan plot cerita; kesemuanya sering menjadi pilihan untuk pengarang menyaring lalu memanfaatkannya dalam hasil karangan mereka. Kecenderungan melihat, menyalin, merakam serta pada masa yang sama menggemari dan menafsir sifat cuaca, manusia, haiwan atau tumbuhan itu, rata-rata merupakan antara rentetan proses pembentukan tradisi kepengarangan Melayu. Bagaimana ia kemudiannya dimasukkan ke dalam pelbagai genre sastera lewat pantun, syair, teromba, hikayat malah panji sebelum ke cerpen atau novel. Malah tidak kurang ia kemudiannya menyeberangi ke genre muzik, filem, lukisan atau iklan.

          Membaca pertembungan Timur dan Barat dalam wilayah kesusasteraan Melayu, membawa kita mahu menekuni semula sebuah buku hasil suntingan Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh bersamaAmdun Husain, Kumpulan KritikanSastera: Timurdan Barat (DBP, 1987). Ia menghimpunkan esei-esei terjemahan dalam lingkungan teori dan kritikan dari pemikir China, India, Jepun, Asia Barat dan Nusantara terhadap kerangka kesusasteraan bagi mendapat neraca yang saksama. Antara catatan Muhammad, tiada terdapat suatu imbangan antara Timur dengan Barat – malah kita tidak mungkin melihatnya dari perspektif begini. Kerja membanding juga harus dilakukan dengan pendekatan yang amat terbuka dan harus dilakukan dengan pendekatan yang amat lengkap dan sempurna. Kritikan dari dua dunia ini dikutip dan dikumpulkan dalam sebuah buku dengan harapan bahawa kita tidak terus merasakan bahawahanya Barat sahaja yang mempunyai kritikan sedang Timur tandus dengan pemikiran tentang kesusasteraan .Kumpulan ini sedikit sebanyak dapat menipiskan mito sini (hlm. viii). Banyak pertembungan antara susuk dariWordsworth, Chikamatsu Monzaemon, Liu Hsieh, Bharata, NizamiArudi hingga keTun Seri Lanang, secara terbuka dan saksama membentangkan keindahan pemikiran tentang kesusasteraan masing-masing.

          Mengembara ke sastera luar dan membawa kenangannya kembali ke lubuk asal, sering menampilkan ketokohan Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh sendiri. Sarjana yang asalnya menekuni sastera Inggeris, Yunani, Eropah kemudian juga ke Jepun, dengan luar biasa kembali kepada tradisi bangsanya. Pantun yang sangat dicintai, diperhalusi aksara, rima muzik, gerak baris dan rangkap. Kita diasuh untuk membanding-banding kekuasaan pantun dalam kotak kecilnya dengan haiku mahu pun puisi Inggeris. Pantun rupa-rupanya menawarkan kegeniusan Melayu. Kita diminta membaca karya Derek Walcott, Pablo Neruda, Jorge Luis Borges; tidak ketinggalan baris-baris dari Matsuo Basho, Subagio Sastrowardojo, Goenawan Muhammad, Rendra atau Taufik Ismail. Melalui teks-teks luar itu kita diminta melakar di sebelahnya lagi penukangan Baha Zain, A Latiff Mohidin dan Usman Awang. Dan apa yang kita temukan adalah sastera Melayu seperti juga sastera bangsa lain yang punya keunikan dan keaslian dan sangat wajar dihormati. Bacalah kata pengantar Muhammad Haji Salleh yang ringkas namun mengesankan untuk bukunya, Menyeberang Sejarah (DBP, 1999). Sasterawan Negara itu bercakap tentang mengasihi sastera Melayu melalui jalan jauh menyeberangi sastera dunia.

          Dalam kerangka kajian kesusasteraan bandingan pula, terdapat satu fahaman terhadap peri  pentingnya pengetahuan dan penguasaan sastera nasional. Profesor Dr Sahlan Mohd Saman, antara tokoh yang penting dalam kajian bandingan kesusasteraan Melayu, menegaskan keperluan tersebut dalam buku terbarunya, Kesusasteraan Bandingan: Mentafsir Budaya dan Kehidupan (UBD, 2011). Apabila bercakap soal penguasaan sastera nasional, ia adalah soal peribadi bangsaitu. Sastera milik peribadi itu adalah wajah bangsa itu sendiri. Perhatikan dalam kesusasteraan Melayu pantun, syair atau perbilangan. Kemudian apabila ia dibawa berkelana dan berkenalan dengan sastera luar, berlakulah kerja bandingan  atau apa yang disebut Profesor Dr Sahlan Mohd Saman sebagai kajian inter atau super (berbeza daripada kajian intra dan supra – dalam lingkungan sastera lokal). Ia tidak semata-mata mengembara ke sastera Barat; manfaat pasti sama dapat digembleng dari sastera Afrika, Arab, Jepun, India atau  China. Kemahiran menguasai bahasa atau kerja terjemahan yang tekun dan berterusan, sesungguhnya banyak melincirkan upaya itu. Sastera milik peribadi menjadi dasar, asas atau tapak yang dikuasai dan diyakini itu, menjadi paksi dalam kerja bandingan yang dijalani. Akhirnya nanti diperhatikan bahawa kedua-dua kesusasteraan itu mempunyai peribadi masing-masing, punya keaslian secara relatif. Nanti akan dibenarkan bahawa sasterawan Melayu punya jatidiri, keistimewaan dan mohor yang khusus.

          Menerusi dua tanggapan profesor kesusasteraan itu, rata-rata dipersetujui bahawa perlunya dikuasai kesusasteraan milik sendiri .Begitu juga dilihat titik tradisi dalam peta kajian intertekstual .Merujuk tradisi sebagai sebuah hypotext atau hypogram atau teksterdahulu, ia mengasuh untuk sering menyedari bahawa setiap bangsa mempunyai khazanah dan pustaka peribadi sendiri yang sarat ilmu dan harga diri. Betapa dalam konteks kesusasteraan Melayu adanya tradisi ilmu; memerhati lalu menjalani jurus taakulan, tafsiran dan terapan dalam jalan hidup. Aksara ilmu yang di depani itu sangat membentuk peribadi. Begitulah kesusasteraan Melayu dalam kesusasteraan dunia, menyertai dengan tradisi sendiri.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.