ALHAN RABBANIYAH

ALHAN RABBANIYAH: KONSERT BERTERAS AQLI NAQLI
 
 alhan rabbaniyah
 
Nilai, 22 November - Alhan Rabbaniyah; konsert berunsurkan ketuhanan yang berkonsepkan teater muzikal, anjuran Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berlangsung dengan gilang-gemilang sekaligus menggegarkan pentas Dewan Tuanku Canselor, di universiti tersebut, kelmarin.
 
       Julung kali diadakan, konsert yang dianjurkan bersempena sambutan 15 tahun kecemerlangan USIM ini menampilkan lagenda rock dari Singapura, Datuk Ramli Sarip, artis religi Indonesia , Opick dan qariah kebangsaan dari Malaysia, Sharifah Khasif. Konsert ini merupakan anjuran bersama Istana Budaya dengan kerjasama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Utusan Malaysia sebagai media rasmi. Turut menampilkan, Orkestra Tradisional Malaysia, Adinda Amiro, Roslan Madun dan Zehra Zambri serta persembahan dari Urus Setia Kesenian Pelajar iaitu USIM Vocal Ensemble, Perkusirama, Fansuri, Atra, MUhammad Husaini Mahmur, Hanif Jalil dan Faiz Aziz. 
 
          Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, dan Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut mencemar duli bagi menyaksikan persembahan konsert yang berprestij ini. Turut berangkat sama, Pro-Canselor USIM, Tunku Ali Tuanku Muhriz.
 
         Alhan Rabbaniyah merupakan persembahan yang menceritakan tentang proses kehidupan dan kematian manusia, bermula dari kelahiran seterusnya menjalani kehidupan dan berakhir dengan kepulangan kepada pencipta. Konsert ini tampil dengan segmen yang penuh dengan pengisian yang mengangkat tema ibu bapa, ilmu, Rasulullah dan ketuhanan.
 
      Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM berkata, "Idea Pusat Kebudayaan USIM dalam menggabungkan elemen rock, nasyid, dan moden ternyata berjaya memukau lebih 1600 penonton untuk hadir". Sementara itu, Encik Mohd Juhairee Mohd Junaidie Khan, selaku peneraju Alhan Rabbaniyah berkata, antara tujuan penganjuran konsert ini adalah bagi menyajikan persembahan berbentuk islamik kepada penonton, namun pada masa yang sama dalam bentuk hiburan moden yang selari dengan era globalisasi ini.
 
         "Bukan hanya hiburan kosong semata, malah konsert ini mampu menjadi wadah terbaik dalam menyuntik dakwah melalui bait lagu yang dialunkan," katanya. Tambah beliau lagi, konsert ini turut bertindak sebagai manifestasi kesenian yang berjiwa islamik sebagai santapan rohani buat para penonton. "Selaras dengan matlamat Pusat Kebudayaan USIM iaitu peneraju seni berbudaya, konsert ini dikira selari dengan kesenian Islam yang berteraskan ilmu Aqli dan Naqli," katanya yang ditemui kelmarin.
 
        Melalui keberhasilan program ini, Pusat Kebudayaan USIM sekaligus telah melaksanakan aspirasi universiti khususnya Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato' Dr. Musa Ahmad yang berhasrat untuk mengadakan program seni berbudaya Islam yang berteras Aqli dan Naqli.
 
            Muhammad Irfan Muhammad Jaleel, salah seorang penonton yang juga merupakan wakil Majlis Perwakilan Pelajar USIM sesi 2015/2016 turut menyuarakan harapan beliau agar program berbentuk seumpama ini boleh diteruskan selari dengan media kini. Beliau juga menyifatkan bahawa konsert ini dapat memberikan kesedaran dan impak positif kepada orang ramai, khususnya mahasiswa USIM.
           
         "Konsert ini merupakan salah satu medium penyebaran dakwah melalui seni, malah Pusat Kebudayaan USIM sendiri mampu mematahkan persepsi masyarakat bahawa konsert seperti ini adalah sesuatu yang lagha," katanya.
 
            Sebahagian hasil kutipan tiket tersebut disumbangkan kepada Yayasan Al-Fikrah di Kajang, selaku badan kebajikan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
 
 
Laporan: Ejen Berita Adibah Azmi & Azzida Arshad

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.