IHTIFAL ASEAN 2018: UNIVERSITI MALAYA TEBUS KEKALAHAN DUA TAHUN LEPAS

Nilai, Negeri Sembilan -  Ihtifal IPT Asean 2018 telah diadakan di Fakulti Pengajian AlQuran dan AsSunnah (FPQS) bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sejak Sabtu lalu.

Acara Nasyid telah mendapat 10 penyertaan daripada dalam dan luar negara. Setiap kumpulan telah mempersembahkan nasyid mereka dengan pelbagai koreografi yang menarik dengan kostum yang berbeza serta lirik lagu dan muzik yang telah diolah sendiri.

Namun, acara yang berlangsung pada Ahad malam itu, telah dijuarai oleh Universiti Malaya (UM). Mereka membawa pulang RM3000 berserta piala. Bukan itu sahaja, UM juga membawa pulang hadiah lirik dan lagu terbaik dengan masing-masing berjumlah RM500 berserta piala.

“Semua pasukan dah ada peningkatan dalam masa dua tahun ni. Semua dah usaha yang terbaik. Ada rezeki, Insya Allah peluang mereka akan tiba jugak.” Kata jurulatih UM dalam majlis perasmian penutupan semalam.

Tempat kedua dimenangi oleh tuan rumah, USIM manakala Universiti Malaysia Pahang menduduki tempat ketiga. Anugerah kostum terbaik telah dirangkul oleh Universiti Kebangsaan Malaysia yang tampil dengan baju rekaan tersendiri, manakala Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta Indonesia telah mendapat anugerah Persembahan terbaik dengan bakat acapella yang diketengahkan. Masing-masing membawa pulang RM500 dan piala.

Juri bagi acara tersebut juga mengatakan bahawa semua pasukan membawa aura dan kreativiti yang tersendiri dan tahun ini, peserta tidak kaku berdiri dan menyanyi. Juri professional yang membuat penilaian semalam ialah Azzam Dungun, Azizul Hakim, Razin dan Fauzi Marzuki yang masing-masing merupakan composer, penulis lirik dan penerbit muzik tanah air.

 

Ary Jayy

Ejen Berita

Pusat Kebudayaan USIM

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.