Majlis Penghargaan Alhan Rabbaniyah

MAJLIS PENGHARGAAN ALHAN RABBANIYAH MENUTUP TIRAI

ACARA PUSAT KEBUDAYAAN 2015

 

 

Nilai, 25 Disember -  Bertempat di bumi bertuah Nilai, penghujung November lepas telah menyaksikan satu konsert yang berkonsepkan kerohanian telah berlansung di Universiti Sains Islam Malaysia. Konsert kerohanian yang diberi nama sebagai Konsert Alhan Rabbaniyah telah melabuhkan tirainya dengan mengadakan Majlis Penghargaan Alhan Rabbaniyah dan pelancaran Inovasi Karya Seni.

          Majlis Penghargaan tersebut dihadiri oleh kesemua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan Konsert Alhan Rabbaniyah. Majlis tersebut turut sama dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad dan En. Ismail Ahmed selaku Pengarah Pusat Kebudayaan.

          Menurut En. Ismail Ahmed ketika ditanya, Majlis Penghargaan Alhan Rabbaniyah diadakan bagi menghargai usaha dan juga penat lelah yang dilalui oleh semua ahli yang terlibat sepanjang menjayakan Konsert Alhan Rabbaniyah itu.

          “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, khususnya pihak Istana Budaya dan tenaga pengajar yang memberi tunjuk ajar juga ilmu sepanjang sesi latihan berlangsung. Jutaan terima kasih juga ditujukan kepada semua yang membuat persembahan pada malam konsert itu termasuk staf-staf Pusat Kebudayaan.”, katanya lagi.

          Tambahnya lagi, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia bercita-cita untuk menjadi peneraju dan pencetus ke arah seni berbudaya dan menjadi contoh kepada institusi lain dalam melahirkan pusat kebudayaan yang berteraskan unsur islamik.

          Pada masa yang sama, majlis turut meraikan perasmian pelancaran Inovasi Karya Seni Pelajar iaitu Buku Antologi Lirik Patriotik dan Buku Komik ‘Apo Jo lah’. Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad. Kedua-dua buku ini merupakan hasil karya yang dikarang oleh Kumpulan Seni Lukis ‘Pena Emas’ Pusat Kebudayaan yang juga merupakan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.

          “Saya merasakan ini satu kaedah yang baharu dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat melalui karya penulisan dan lukisan komik.”, kata Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia ketika memberi ucapan alu-aluan dalam majlis yang berlangsung di perkarangan bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP).

          Dikesempatan itu juga, beliau memuji pihak penganjur kerana mampu mengadakan suatu program yang menjalinkan hubungan dua hala antara Universiti Sians Islam Malaysia dengan Persatuan Rumah Al-Fikrah. Hasil kutipan tiket konsert yang dijual, sebahagiannya disalurkan kepada pusat jagaan tersebut bagi meringankan bebanan mereka dari segi pembiayaan tempat tinggal dan kemudahan harian.

          Persatuan Rumah Al-Fikrah merupakan pusat jagaan yang menempatkan warga emas dan orang-orang yang tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Menurut En. Ismail Ahmed, pemilihan badan persatuan itu dipilih sendiri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang merupakan rakan strategik bagi penganjuran konsert kali ini.

          Majlis Penghargaan Alhan Rabbaniyah pada malam itu diakhiri dengan jamuan makan dan persembahan wayang kulit yang dijemput khas dari luar USIM.

 

Ejen Berita : Muhammad Fakhrullah Khairul Zahari

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.