Malam Anugerah Seni USIM

Malam Anugerah Seni USIM

 

 

     Seni yang bermanfaat bukan lahir dari hiburan kosong semata sebaliknya harus padat dengan mesej kerohanian serta berlandaskan syariat Islam. Aktiviti seni berbentuk islamik merupakan satu wadah dakwah yang kian aktif di masa kini. Tidak dinafikan juga bahawa sayap dakwah boleh dilebarkan melalui seni. Lantaran itu, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM telah menganjurkan Festival Seni Universiti Sains Islam Malaysia (i-FESSEM15) pada Jumaat, 15 Mei 2015 bertempat di Dewan Besar, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

   Tidak terhad kepada pelajar USIM sahaja, orang awam dari seluruh pelosok negara juga telah hadir bagi memeriahkan lagi festival seni ini.

   Berpegang kepada moto mengangkasa seni berbudaya, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia membawakan kepada umum Festival Seni USIM yang juga dikenali sebagai i-Fessem 2015 dan kali ini merupakan kali kedua majlis gilang-gemilang ini diadakan bagi mengetengahkan bakat-bakat terpendam para pelajar USIM dalam pelbagai bidang seni.

     Membuka tirai pada 15 Mei dan berakhir dengan Majlis Anugerah Seni USIM pada malam 16 Mei 2015, i-Fessem 2015 mengangkat seni yang berbudaya sebagai kayu ukur bagi melahirkan para karyawan seni yang menjaga syariat dalam mengekspresi seni yang semakin suram dalam kalangan pelajar.

    Membawa tema ‘Royal and Glitter’, malam penutup Festival Seni USIM 2015 iaitu malam Anugerah Seni USIM menjadi malam gilang-gemilang dan juga malam yang tidak dapat dilupakan bagi para pelajar yang terlibat menjayakan i-Fessem ini. Kumpulan-kumpulan pelajar yang terlibat mempertaruhkan seni mereka bagi dinilai oleh juri professional ini dilihat begitu gemuruh dalam menantikan keputusan yang dilontarkan oleh dua pengacara yang juga terdiri daripada pelajar pada malam tersebut.

    Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah yang juga ditemui di majlis tersebut turut berkata, “Acara ini telah membuktikan kemampuan pelajar USIM dalam mengenengahkan aktiviti kesenian dan kebudayaan”.

     Beliau juga berharap agar USIM dapat menjadi peneraju seni bercorak Islami dan menjadi rujukan masyarakat dan institusi lain untuk sebarang aktiviti kesenian selaras dengan syariat.

    Sementara itu, pengarah program i-Fessem saudara Mohamad Aizat bin Mohamad Sani berkata, “Keberkesanan dakwah dalam seni yang diterapkan adalah bergantung kepada input yang diterima oleh individu di mana 3 elemen dakwah dalam seni telah diterapkan iaitu dekat dengan pencipta, menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi juga untuk meningkatkan ketajaman pemikiran”.

     Jelas beliau juga, “i-Fessem merupakan wadah untuk berkongsi ilmu dan kemahiran dakwah dalam seni”.

    Anugerah Seni USIM telah membuktikan bahawa seni berbudaya bukanlah hanya sesuatu yang dianggap picisan malah seni yang dipamerkan boleh terus ke hadapan dan membina nama yang gah dalam industri seni tanah air satu hari nanti.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.