USIM Street Dakwah

USIM Street Dakwah

 

 

     Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia Busker’s Club dan akhbar Utusan Malaysia akan menganjurkan USIM Street Dakwah pada 28 Februari ini.

     Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, program julung kali yang diadakan di perkarangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur itu melibatkan lima kumpulan kesenian muzik daripada Pusat Kebudayaan USIM yang akan membuat persembahan secara santai menggunakan elemen dakwah.

    “USIM Street Dakwah akan menghimpunkan lima kumpulan kesenian muzik yang melibatkan kumpulan muzik moden,nasyid,vocal Ensemble,perkusi,dikir barat di samping penampilan istimewa artis, Radhi OAG,” katanya.

     Beliau menjelaskan, pengisian program bertemakan Perkongsian Pengetahuan dan Kesedaran itu turut menonjolkan kesenian muzik Islam di samping menajamkan bakat pelajar dalam persembahan seni dalam akademik atau kokurikulum.

      “Program selama sehari itu akan melibatkan sebanyak 10 acara aktiviti kesenian termasuk bengkel bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 7 malam. Orang ramai dijemput bagi memeriahkan program tersebut kerana pelbagai aktiviti menarik diatur pihaknya bagi memeriahkan USIM Street Dakwah yang julung kali diadakan itu.

     “Ini kali pertama kita menganjurkan program kesenian di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk orang muda yang akan menjadi platform untuk merakyatkan seni dan budaya kepada semua golongan khususnya generasi muda,” katanya.

      Ismail menambah, elemen-elemen penting seperti kekuatan semangat, daya juang yang tinggi, luas penguasaan ilmu serta berkeupayaan memimpin, isu dan hak wanita dan doa penjagaan kesihatan turut diterapkan dalam diri pelajar selaku generasi belia melalui penganjuran bengkel yang akan dikelolakan JPW.

     “Saya percaya dengan wadah untuk menyampaikan mesej dakwah melalui bengkel ini juga pasti menjanjikan kelainan apabila Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Musa Ahmad dijangka mendeklamasi sebuah puisi buat semua pengunjung yang hadir di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

       “Di samping dapat ilmu dan berhibur, para pengunjung juga turut dapat menderma dan daripada hasil kutipan itu USIM akan salurkan untuk tujuan amal. Kita melihat program ini mampu berperanan sebagai pemangkin kepada agenda transformasi Negara dan perpaduan ummah,” jelasnya.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.