Utusan, USIM jalin kerjasama program CSR

Utusan, USIM jalin kerjasama program CSR

 

 

 

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Kumpulan Utusan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bekerjasama melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu membangunkan modal insan di Negara ini.

                Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, kerjasama itu sesuai dengan fungsi akhbar Utusan Malaysia sebagai pemangkin fikiran rakyat dan USIM yang merupakan institusi dalam melahirkan generasi berilmu.

                “Saya dapati Utusan dan USIM mempunyai perjuangan yang sama cuma bezanya adalah medium. Sebab itu Utusan telah lama menjalin kerjasama dengan USIM iaitu sejak enam tahun lalu.

                “Antaranya melalui program santai berkonsepkan CSR yang memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak dan masyarakat,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui dalam program USIM Street Dakwah  yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita dan Malaysian Buskers Club di perkarangan Pasar Seni di sini.

                Dalam program itu, para pelajar dan tenaga kerja USIM serta artis-artis seperti Siso Kopratasa, I’m Muzika, USIM Buskers, Perkusirama dan Akusukabuskers turut mengadakan persembahan.

                Selain persembahan nyanyian bertemakan seni muzik Islam yang diadakan secara percuma kepada pengunjung Pasar Seni, Mohd. Noordin turut mendeklamasikan sebuah puisi bertajuk Mencari Selesa hasil nukilan Tan Sri Syed Hamid Albar.

                Sementara itu, Naib Canselor USIM Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad pula berkata, kerjasama antara USIM dan Kumpulan Utusan itu diharap dapat menyerlahkan lagi program-program CSR anjuran mereka.

                “Dalam program ini, kami mahu mengetengahkan seni-seni seperti muzik, lagu dan puisi yang berteraskan Islam.

                “Selain memberi mesej kepada masyarakat melalui bidang ini, ia juga dapat mendedahkan para mahasiswa USIM tentang peranan serta pendedahan diri mereka dalam masyarakat dan Utusan pula membantu kita ke arah itu,” ujarnya.

                Katanya, USIM Street Dakwah akan diteruskan lagi selepas ini dengan kerjasama Kumpulan Utusan di tempat-tempat lain termasuk di Negara-negara nusantara bagi mengembangkan lagi seni-seni berteraskan ajaran Islam.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.