Malam Puisi Gaza

 Malam Puisi Gaza

 

 

Luapan amarah kepada regim Zionis, solidariti buat Palestin

Jeritan penduduk Gaza yang terus dihambat derita angkara kezaliman regim Zionis disaht dengan puisi protes pada Malam Puisi Gaza 201: Ekspresi Jiwa dan Munajat Doa Untuk Palestin di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, baru-baru ini.

          Kemarahan yang meluap-luap tidak disembunyikan dan dapat dilihat pada luahan kekesalan terhadap kesengsaraan yang terpaksa ditanggung rakyat Gaza dengan menyampaikan puisi dalam nada jeritan yang menaikkan semangat penonton.

          Tirai acara dibuka dengan bacaan doa kepada umat Palestin oleh wakil Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Muhammad Irsyad Norzamri yang disampaikan secara puitis, sebelum disambut Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron dengan puisi Al-Aqsa Terpenjara.

Dan kalau kita tidak hadir memberi sokong Al-Aqsa akan terus terpenjara dan kalau kita terus alpa jangan menangis kalau Al-Aqsa bukan milik kita.

Baju hitam tanda sokongan

Sokongan padu terhadap Gaza juga terserlah dengan tetamu kehormat, penyair dan deklamator mengenakan baju berwarna hitam yang tertera sokongan untuk Palestin pada malam yang turut menampilkan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan yang membacakan puisinya, Usah Kita Sekadar Menangis.

          Emosi penonton semakin dibakar dengan penampilan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad yang membuat emosi khalayak ketika menyampaikan puisi, Sekeping Nota Untuk Gaza.

          Aktivis teater, Rasdi Daud tidak dapt mengawal perasaan apabila mendeklamasikan puisi berjudul Assalamualaikum Gaza, sekali gus mengingatkan rejim Zionis yang tidak berhati perut.

 

Israel kau telah melampau

bilakah malam panjang ini

akan berakhir di tanah lahirnya nabi-nabi

dan para malaikat berjalan

mundar-mandir di bumimu

doa-doa tulus yang pernah

dilafazkan dari mulut kekasihmu

          Kemunculan trio deklamator wanita, iaitu 3 Jiwa yang dianggotai oleh Haryani Harun, Lin Haslinaz dan Ayudez Fia, menggegarkan pentas ketika tampil menyampaikan puisi bertajuk Gaza 'menaikkan bulu roma' menyaksikan kesungguhan mereka menyampaikan puisi meratapi nasib rakyat wilayah itu.

 

Anak anak Palestin

perjalananmu adalah sekadar kesempatan

untuk menghirup seksa yang tak terkata

pengalamanmu adalah mata

fikir yang tiada hentiannya

kebebasanmu adalah penaklukan setiap kedukaan

 

Balada gadis kecil

Acara yang turut dihadiri Ketua Pengarah Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut itu, ditutup dengan nyanyian beramai-ramai tetamu, penyair dan deklamator dengan lagu ciptaan komposer terkenal, Allahyarham Zubir Ali, iaitu Balada Seorang Gadis Kecil.

 

Gadis kecil itu telah bertahun

dicengkam derita

di khemah perlarian

yang menjanjikan duka cita

Munir tak mengenal erti cinta

telah kering air mata

menangis kematian

ayah bonda dan saudara

 

Acara anjuran USIM bernama DBP, Persatuan Penulis Nasional Malaysia ( PENA) dan ITBM serta BH sebagai rakan media itu turut menampilkan Pemenang Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEAWrite) 2000, Dr Lim Swee Tin; penyanyi lagu puisi, Siso dan Fauzi Marzuki serta Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Shamsudin Othman.

          Malam puisi itu turut dimeriahkan oleh deklamator seperti Ahmad Shukri Abdullah, Aris Othman, Mohd Salehudin Sukor, Faiz Aziz dan Khairil Kamarudin (J-mat).

          Sementara itu, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM merangkap Timbalan Pengerusi Malam Puisi Gaza 2014, Ismail Ahmed berkata, persembahan itu boleh disaksikan melalui laman sesawang USIM di www.usim.edu.my/malampuisigaza, sekali gus boleh menderma Gaza.

          "Selepas menonton, orang ramai diharap dapat klik butang Like sebagai tanda sokongan dan menyumbang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip Palestin RM1, RM5 atau RM10 ke talian 39111.

          "Persembahan Malam Puisi Gaza ternyata mendapat sambutan amat memberangsangkan dan USIM berjaya mengutip hampir RM10,000 yang kemudian diserahkan kepada Tabung Aman Palestin,"katanya.

 

 

 

                                                                         

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.