Doa Anak Marhaien

 

Anak Marhaien ungguli CIPTA 2014

 

 

SEREMBAN 30 Sept. - Sebanyak 80 lirik serta 60 lagu berunsur patriotik telah secara bersama oleh mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan penghuni penjara melalui Festival Cipta Lagu Patriotik (CIPTA) 2014.

          CIPTA yang masuk tahun kelima penganjurannya itu merupakan kerjasama antara Pusat Kebudayaan USIM bersama Jabatan Penjara Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

          Kemuncak CIPTA 2014 menyaksikan penganjuran Malam Konsert dengan mempertandingkan 10 lagu yang diadili oleh juri profesional Fauzi Marzuki, Siso Kopratasa dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain.

          Lagu bertajuk Doa Anak Marhaien hasil lirik ciptaan Dennis Anak Langit (penghuni Penjara Kajang) dan komposer Faidzil Redzuan (USIM) muncul johan sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

          Sementara itu, tempat kedua dan ketiga dimenangi lagu bertajuk Bunga Pertiwi dan Anugerah Perpaduan hasil sentuhan komposer iaitu pelajar USIM dan penulis lirik penghuni penjara dengan masing-masing menerima wang tunai RM2,000 dan RM1,500 beserta sijil penghargaan.

          Bagi penuntut jurusan Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM, Mohamad Husaini Mahmur, 22, kejayaan lagu Doa Anak Marhaien yang dinyanyikan oleh beliau bersama rakannya adalah satu pengalaman manis bagi mereka.

          "Kami  amat berdebar kerana ini pengalaman pertama menyanyi dengan iringan muzik orkestra.

          "Di samping itu, lagu ini disampaikan menggunakan loghat masyarakat iaitu Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganuternyata memberi cabaran kepada kami, latihan intensif selama seminggu banyak membantu untuk mempersembahkan lagu ini dengan baik," katanya.

          Dalam pada itu, Pengarah Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, CIPTA merupakan platform  menonjolkan bakat dan kreativiti pelajar dan penghuni penjara bagi menzahirkan kecintaan kepada negara.

          "Malah hasil ciptaan mereka ini sedikit sebanyak memberi suntikan semangat jiwa patriotik yang besar kepada masyarakat negara ini.

          "Melalui penganjuran CIPTA sebelum ini, sebanyak enam buah lagu terbaik ciptaan mahasiswa dan penghuni penjara telah diterbitkan dalam bentuk mini,"katanya.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.