SEMARAKKAN BUDAYA, BAHASA MELAYU

 

Kuala Lumpur – Bagi memastikan peribahasa melayu tidak terus tenggelam dalam arus pemodenan, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan program Sembang Pohon Keranji (SPK) 2.0 bertempat di kediaman sasterawan negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, di sini, baru-baru ini.

         Pengarah Pusat Kebudayaan Usim, Ismail Ahmed, berkata SPK pada kali ini menampilkan keunikan dengan menjemput beberapa nama besar dalam bidang sastera negara dan aktivitis seni untuk berkongsi mengenai peribahasa Melayu yang sememangnya menjadi tunjang dan adat kehidupan bangsa Melayu sejak zaman berzaman.

         “Nama SPK diambil sempena pokok yang ada di sekitar kediaman sasterawan negara itu dan melalui program berkenaan, kita dapat mengukuhkan hubungan budaya, kepakaran serta peluang yang ada digunakan sebagai perkongsian seni secara santai bersama budayawan, karyawan dan aktivis tanah air. Kelebihan kediaman Prof Muhammad yang berlatarkan alam semula jadi turut menjadi lokasi pilihan karyawan dan budayawan tanah air bertemu mata kerana ia lebih santai dan bersahaja,” katanya.

         Antara karyawan dan penyair yang turut hadir ialah Dr Siti Zainon Ismail, Datuk Paduka Dr Rosli Saludin, Syed Indera Syed Omar, Silahudin Ahmad, Mamu Mk Hasny, Along Mazlan serta aktivis dan pelakon teater, Roslee Mansor, Shaharudin Thamby dan Razali Hussain.

Maksud tersirat

Program turut dimeriahkan dengan persembahan Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) dari Pusat Kebudayaan USIM, manakala penyanyi lagu rakyat, Roslan Madun hadir menyampaikan lagu Sembang Pohon Keranji yang dicipta sempena pertemuan beliau dan rakan-rakan pada program itu.

         Budayawan, Datuk Dr Ibrahim Ghafar turut berkongsi mengenai maksud tersirat peribahasa Melayu “sorong papan tarik papan buah keranji dalam perahu, suruh makan dia makan suruh mengaji dia taktahu”, manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Khair Ngadiron hadir menyampaikan puisi karya Prof Muhammad.

         Sementara itu, Prof Muhammad berkata, anak muda zaman kini harus meningkatkan rasa cinta serta memupuk kasih sayang dalam menyemarakkan budaya, bahasa dan bangsa Melayu.

         “Hilangnya nilai sesuatu bangsa dalam mempertahankan budaya dan bangsa yang mempunyai harga diri adalah kerana tidak diajar dan diterapkan nilai berkenaan dalam diri dengan lebih mendalam,” katanya.

 

Ary Jayy dan Tiff Zainal

Ejen Berita

Pusat Kebudayaan Usim

 

 

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.