ZIARAH KARYAWAN FELDA KEPIS

30 Oktober, Kuala Pilah - Seramai 40 orang ahli Urus Setia Kesenian Pelajar, Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjayakan program Ziarah Karyawan di Felda Kepis, baru-baru ini.

 

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata program Ziarah Karyawan ini mendedahkan pelajar dalam dunia sastera puisi di samping menceburkan diri kepada aktiviti kemasyarakatan dengan melibatkan diri dalam program anak angkat.

 

“Pembabitan kumpulan USIM Buskers, Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) dan kumpulan cak lempong USIM, Tingkah Irama dalam persembahan  di program Ziarah Karyawan ini amat membanggakan,” katanya.

 

Jelas beliau, penglibatan kumpulan kesenian dalam program ini adalah julung kalinya dan mendapat pujian dari penggiat seni yang hadir, walhal mereka bukanlah dari jurusan muzik mahupun seni.

 

Terdahulu Ismail Ahmed berkata, Pusat Kebudayaan komited dalam menggarap seni persembahan secara kreatif namun masih terselit unsur Islam selaras dengan matlamat Pusat berkenaan selaku peneraju seni berbudaya.

 

Menetap bersama Ibu angkat beliau Es’hah Mustafa, Nurul Syifa Rizal salah seorang ahli Urus Setia Kesenian Pelajar berkata, program ini memberi pengalaman manis yang sangat berharga yang beliau perolehi di Felda Kepis ini. Tambahan pula, ini adalah penglibatan sulung beliau dalam program anak angkat.

 

“Program seumpama ini boleh dikatakan merupakan satu titik tolak dalam memupuk minat saya terhadap program berunsur kemasyarakatan kerana kelainannya yang tidak dapat saya pelajari secara teori di dalam bilik kuliah, sekaligus kini saya mula berjinak-jinak dalam dunia puisi,”ujarnya lagi.

 

Perasmian program ini disempurnakan oleh TYT Dato’ Seri Hasan Malek selaku Ahli Parlimen Kuala Pilah.

 

Beliau yang juga Duta Besar Malaysia ke Kemboja, dalam ucapan perasmiannya berkata program seumpama ini berjaya mengangkat kegemilangan syair dan puisi yang sudah sinonim dengan masyarakat melayu tidak mengira usia.

 

Ujarnya lagi, anak-anak muda terutamanya harus didedahkan dengan program seumpama ini bagi melahirkan lagi ramai generasi muda yang celik akan sastera melayu.

 

Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini dengan Wacana Cendekia, Muzikal Sajak dan Apresiasi Filem.

 

Program anjuran Kerabat Ziarah Karyawan, Persatuan Seni dan Karyawan Perak Tengah dan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Pilah dengan kerjasama Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pusat Kebudayaan USIM sendiri ini membawakan tema Sayembara Baca Sajak Usman Awang dengan penglibatan pendendang syair Kerabat Ziarah Karyawan dari Malaysia dan Indonesia.

 

Disediakan oleh: EB Khairul Bariyah

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.