PREVIEW FESTIVAL NASYID KEBANGSAAN 2016

Saingan ke Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan 2016

Nilai, 18 Okt – Satu Majlis Pratonton dan Pelepasan Kumpulan Nasyid ke Festival Nasyid Kebangsaan telah diadakan di Studio Latihan, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, semalam. Majlis Pratonton itu dilakukan secara tertutup dengan dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Tengku Nur Iftah Tengku Jamil, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Encik Ismail Ahmed, pegawai-pegawai Pusat Kebudayaan USIM, urus setia persembahan dan hadirin yang dijemput khas.

 

3 kumpulan yang akan bertanding ke Festival Nasyid Kebangsaan 2016 telah diperkenalkan pada majlis tersebut, iaitu, Kumpulan Bachelor yang mewakili Negeri Perak, Inspirasi (Selangor) dan Q-Vou (Negeri Sembilan).

 

Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Tengku Nur Iftah Tengku Jamil dalam ucapan aluannya berkata, beliau mengharapkan yang terbaik daripada semua kumpulan, lebih-lebih lagi Kumpulan Q-Vou yang mewakili Negeri Sembilan. Beliau turut menekankan 3 konsep utama yang patut dipegang oleh setiap kumpulan, iaitu fokus, berani  dan pimpin diri dalam mencipta kejayaan.

 

“Saya berharap agar semua peserta berusaha bersungguh-sungguh dalam membuat persembahan, dan  kalah atau menang itu merupakan satu takdir,” katanya.

 

Kumpulan Bachelor bertanding dalam kategori moden membawakan lagu bertajuk Naskhah Cinta  yang bertemakan kekeluargaan. Ahlinya, Muhammad Hisham Bin Haris berkata, kumpulannya menekankan tema kekeluargaan kerana keluarga merupakan institusi pertama yang bermula segala-galanya tentang kehidupan.

 

“Kami cuba mengajak penonton bermain dengan perasaan dan emosi, sekaligus menarik perhatian penonton menerusi  kekuatan vokal kami”, katanya.

 

Muhammad Shairazi bin Shaharudin berkata kumpulan Inspirasi pula bakal bertanding dalam kategori Tradisi menerusi lagunya, Tunjang Perpaduan, karya Saudara Mohd Syukri Sahari yang mengangkat tema perpaduan.

 

“Kami cuba membawa kelainan dengan menggabungkan irama padang pasir dan irama Melayu Asli dalam persembahan nanti,” katanya.

 

Manakala, kumpulan Q- Vou pula menampilkan tema peperangan yang menjiwai penderitaan anak-anak di Gaza, Palestin dan Syria. Lagu Seperti Inikah Dunia yang merupakan karya Ismail Ahmed dan liriknya oleh Faiz Aziz menjadi taruhan mereka pada malam itu nanti.

 

“Kami sengaja memakai kostum putih yang merupakan lambang keamanan dunia dan solo memakai baju hitam sebagai tanda kesedihan,” kata ahli kumpulan Q-Vou, Ahmad Saiful Anuar.

 

Ketiga-tiga kumpulan ternyata mengharapkan untuk mengadakan persembahan sebaik mungkin dan berusaha untuk mara ke peringkat akhir, sekaligus  meraih kemenangan yang diimpikan selama ini.

 

Sejurus selepas persembahan, Encik Ismail Ahmed dalam ucapannya memberi komen tentang keseluruhan ketiga-tiga persembahan, merangkumi komen positif dan sebaliknya serta masih ada beberapa bahagian yang perlu dimantapkan lagi dalam persembahan setiap kumpulan. Secara keseluruhannya, beliau  memuji rekaan kostum yang dipakai oleh peserta yang disifatkannya sebagai menawan.

 

“Selagi belum membuat persembahan sebenar, masih ada jalan terbaik untuk membaiki mutu persembahan sebelum naik ke pentas”, katanya.

 

Turut hadir dalam Majlis Pratonton tersebut ialah artis, ahli kumpulan Kopratasa iaitu Siso.

 

Disediakan oleh: EB Nur Amirah Ariffin

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.