BENGKEL PENULISAN PUISI MAAL HIJRAH

PERLUAS PERSEPSI HIJRAH DALAM PUISI

Nilai, 4 September – Seramai lebih 40 orang peserta terlibat dalam Bengkel Penulisan Puisi Maal Hijrah anjuran Pusat Kebudayaan dengan kerjasama StraComm USIM yang bertempat di USIM di sini, semalam.

Objektif bengkel Penulisan Puisi Maal Hijrah ini adalah bagi memberi bimbingan kepada pelajar untuk mempelajari definisi puisi sebenar disamping menghasilkan puisi bermutu di bawah bimbingan pakar, kata Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM. Ujarnya lagi, bengkel ini turut mengambil tema Maal Hijrah sebagai fokus penulisan puisi yang mengandungi elemen-elemen keluhuran jiwa sebagai hambaNYA, kisah penghijrahan Rasulullah SAW disamping kecintaan kepada yang Maha Esa. Beliau dalam ucapan perasmiannya turut berkata, bengkel ini turut menerapkan pelbagai elemen ketuhanan dan ada hubungkaitnya dengan Integrasi Naqli dan Aqli, selaras dengan matlamat Pusat Kebudayaan USIM.

Penceramah yang terlibat terdiri daripada Karyawan Seni USIM iaitu Syed Indera Syed Omar (SISO), Dato’ Aripin Said yang merupakan seorang Tokoh Warisan Kebangsaan dan Sasterawan Negara, YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh serta Encik Zaen Kasturi, penyair dan penulis tanah air.

Puisi yang terpilih akan dibukukan dan diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan sebagai dokumentasi hasil karya pelajar dan perkongsian pintar oleh Sasterawan Negara dan Karyawan Seni.

Nur Khairul Bariyah selaku pengarah program turut menyifatkan bengkel seumpama ini mampu mendewasakan pemikiran pelajar serta banyak bakat baru yang berjaya dicungkil.

”Ilmu yang diperoleh dari bengkel ini amatlah mahal ditambah pula dengan kehadiran panel yang bukan senang untuk kita jumpa bagi menuntut ilmu dengan mereka, oleh itu saya berharap agar para pelajar akan terus mengasah bakat masing-masing dan tidak akan pernah berhenti belajar dalam menghasilkan puisi yang ’mahal’," ujarnya lagi.

Sekolah Angkat USIM yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan KLIA, SMK Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Selangor manakala sekolah kluster SMKA Sharifah Rodziah, Telok Mas Melaka, SMKA Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar Perak, dan SMKA Dato’ Hj. Abu Hassan, Pedas Negeri Sembilan.

Sementara itu, Wafa Ahmad, pelajar SMKA Sharifah Rodziah, Telok Mas Melaka berkata beliau amat teruja apabila diberitahu panel yang terlibat terdiri daripada Sasterawan Negara serta penulis syair terkenal.

”Saya dapat mempelajari banyak teknik dan tips berguna dalam penulisan puisi sekaligus menambah kecintaan pada puisi dan kini saya lebih bersemangat untuk terus menghasilkan puisi yang baik pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Turut terlibat, pegawai Pusat Kebudayaan USIM serta Urus Setia Kesenian Pelajar.

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.