USIM ANJUR IHTIFAL INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) ASEAN KALI KE-4

Nilai, 19 April - Universiti Sains Islam Malaysia telah menganjurkan  program Ihtifal Instiusi Pengajian Tinggi (IPT) Asean Kali Ke-4 2016  bermula 14-18 April 2016. Majlis Perasmian Penutupan  tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri. Program yang diadakan dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan pegawai-pegawai pengiring dari IPT ASEAN yang terlibat.

Dalam ucapan perasmiannya yang berlangsung semalam, YBhg. Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin menyatakan program seumpama ini sebenarnya membuktikan kesungguhan menjunjung budaya  mencintai al-Quran dan memartabatkan bahasa al-Quran iaitu Bahasa Arab.

“Saya amat berharap melalui ihtifal seperti ini mampu melahirkan masyarakat Islam yang berpengetahuan syumul dan komprehensif terutama anak-anak muda yang menjadi pewaris Negara ”katanya.

Beliau turut memberi penekanan terhadap kekuatan yang ada pada generasi muda yang ada pada hari ini iaitu memiliki satu kekuatan yang tidak dimiliki oleh generasi tua dan kanak-kanak. Gambaran yang jelas turut diberikan bagi membuka mata mahasiswa yang turut hadir dengan membawakan contoh ikutan yang terbaik, iaitu perjuangan Rasulullah serta para sahabat dalam usia yang muda. 

Beliau berharap Ihtifal IPT ASEAN  ini memberi ruang untuk para peserta untuk membuktikan bahawa dengan pembawakan al-Quran mampu bersaing dalam bidang seni suara dan amal Islami setanding pelajar-pelajar institusi lain.

Program yang berlangsung selama lima hari ini telah menarik penyertaan 25 IPT  rantau Asean termasuk sembilan universiti dari Indonesia dan Brunei dengan tiga acara yang dipertandingkan, iaitu debat Bahasa Arab, nasyid,tilawah al-Quran dan seminar tadabbur al-Quran.

 

Oleh :

 

EB Abdul Mutalib Abu Bakar 

EB Mior Muhammad Shahid Mior Mohammad Zin

 

Pusat Kebudayaan

USIM

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.