Pelancaran Produk Seni

USIM PERKENAL PRODUK SENI DAN BUKU PUISI ISLAM

Nilai, 29 Mac 2016 – Sejajar dengan visi integrasi ilmu Naqli dan Aqli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menzahirkan konsep tersebut dalam Majlis Pelancaran Produk Seni baru-baru ini.

Majlis Pelancaran Produk Seni anjuran Pusat Kebudayaan USIM diadakan bertujuan mempamerkan dan memperkenalkan hasil karya mahasiswa dan kakitangan yang bergiat aktif sebagai Urus Setia Kesenian Pelajar di samping mempromosikan produk keluaran Pusat Kebudayaan sendiri.

Pelancaran produk seni ini merangkumi empat skop utama iaitu; produk persembahan seni, produk sewaan dan teknikal, produk penerbitan seni selain produk pengajaran dan pembelajaran seni.

Pelakon tanah air Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah yang ditemui di majlis berkata, “Mak Jah sangat suka dengan adanya produk seni sebegini, industri seni tanah air dapat dikembangkan. Darah seni ini ibarat kehalusan sutera, ia tidak dapat dilihat tapi ia tetap ada.”

Mengangkat prinsip melahirkan produk patuh syariah, majlis diserikan dengan acara pelantikan Karyawan Seni dan Ikon Seni USIM sebagai salah satu bentuk kerjasama dalam menghasilkan resolusi yang bertepatan dengan prinsip tersebut selain menjadikan USIM sebagai Peneraju Seni Berbudaya.

Beberapa karyawan seni tanah air yang dilantik dalam bidang-bidang tertentu termasuklah Syed Indera Syed Omar (Siso) sebagai Karyawan Penulisan Kreatif; Nash (Karyawan Persembahan Seni); Fauzi Marzuki (Karyawan Penciptaan Kreatif); Hafiz Hamidun (Karyawan Inovasi Produk); Ahmad Fedtri Yahya (Karyawan Pengacaraan dan Penyiaran); dan Anuar Hasin (Karyawan Seni Taranum) serta Dr. Irwan Mohd  Subri (USIM) sebagai Penasihat Produk Seni.

Menurut Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM semasa berucap, “Semua produk patuh syariah ini akan memberi impak dan memenuhi keperluan pasaran di samping memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar ilmu keusahawanan sebagai bekalan selepas bergraduasi kelak.”

Dengan mendapat kerjasama daripada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), sebuah buku puisi Islam pertama yang berjudul Garizahku Buat Maharani hasil karya Adiwangsa Sukma berjaya dibukukan dengan menghimpunkan 50 buah puisi yang membawa falsafah “karya yang mendekatkan pembaca dengan Pencipta.”

Pengarah Urusan ITBM, Encik Mohd Khair Ngadiron menyampaikan hasrat beliau supaya produk-produk Islamik sebegini diketengahkan kepada masyarakat secara telus, bukan sahaja di tempat-tempat eksklusif malah di tepi-tepi jalan juga di kampung-kampung supaya kita dapat memasyarakatkan budaya.

Selain buku puisi Garizahku Buat Maharani, antara produk lain yang diketengahkan oleh Pusat Kebudayaan adalah Majalah komik Apo Jolah, penjenamaan semua album Bushra Lana Qasidah Kontemporari juga buku INSART hasil dokumentasi dan resolusi dari International Seminar of Arts in Human Development in Modern Era 2015.

Nash yang dilantik sebagai salah seorang Karyawan Tamu USIM berkata, “Program ini merupakan inisiatif yang baik dan USIM berjaya melebarkan satu sayap baru dalam keterlibatan budaya serta beliau bersedia untuk memberi pendekatan dalam kesenian dan persembahan kepada mahasiswa kampus.”

Turut dilantik adalah 14 Ikon Seni Pelajar yang kini merupakan alumni USIM yang pada masa sama turut menyumbang kepada industri dan masyarakat. Mereka adalah Siti Nor Intan Abdul Latiff, Zul Afkar Al-Husna Yusoff, Tengku Helmy Farhan Raja Za’aim, Tengku Faizah Tengku Yusop, Nuraishah Mohd Yusof, Muhammad Alif Mohamad Nasir, Mohamad Firdaus Mahadi, Mohd Shahrul Faizie Zaini, Mohamad Husaini Mahmur, Mohd Nurhakimi Md Yaman, Noor Haidan Tamin, Wan Nor Zadilah Wan Mohamad, Muhammad Hasif Idris dan Siti Nur Nuurnadhirah Mohd Azkah.

Siti Nor Intan, salah seorang ikon pelajar yang dilantik berkata “Mahasiswa seharusnya menghargai masa dan menggali ilmu serta pengalaman sebanyak mungkin di alam universiti supaya dapat memberi contoh dan teladan yang baik buat komuniti kampus dan masyarakat.”

Majlis yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor USIM itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, pihak pengurusan ITBM, penyanyi lagu melayu asli tersohor Aspalela Abdullah dan Pn. Hamidah, Presiden HKL Kids Kanser.

Disediakan oleh:

EB FATIN MUNAZZAH BINTI ABD AZIZ

EB NAJIHAH SAFARIN

PUSAT KEBUDAYAAN USIM

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.