USIM STREET DAKWAH PERTAMA 2016

USIM STREET DAKWAH BANTU HKL KIDS KANSER

Putrajaya, 19 Mac 2016 - Urus Setia Kesenian Pelajar USIM dibawah kelolaan Pusat Kebudayaan USIM sekali lagi mengadakan street dakwah bertempat di Pusat Membeli Belah Alamanda. Program yang bermula seawal jam 2.30 petang telah menarik ramai pengunjung untuk menyaksikan persembahan busking serta persembahan dari kumpulan perkusirama.

USIM Street Dakwah yang telah berlangsung dihadiri oleh kesemua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. USD tersebut turut sama dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan Ibubapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser Hospital Kuala Lumpur (HKL Kids Cancer), Puan Hamidah dan Pengarah Pusat Kebudayaan, En. Ismail Ahmed. Program kali ini dimeriahkan dengan kedatangan ibubapa kepada pesakit kanak-kanak kanser bagi menyokong usaha Urusetia Kesenian Pelajar USIM dalam menyampaikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kanser.

Tujuan USD kali ini diadakan untuk mengutip sumbangan bagi disalurkan kepada HKL Kids Cancer serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kanser yang dialami oleh kebanyakan generasi muda.

Menurut Pn. Hamidah dalam satu temubual bersama Ejen Berita USIM, penubuhan HKL Kids Cancer pada asasnya ingin membuka mata masyarakat mengenai penyakit kanser yang dihadapi oleh kanak-kanak. Justeru, sumbangan yang diterima oleh masyarakat luar akan digunakan bagi meringankan beban ibubapa yang mengalami kesusahan dari segi kos perubatan dan kewangan semasa.

“Penubuhan HKL Kids Cancer pada 3 tahun yang lepas hasil gabungan ibubapa kanak-kanak kanser bertujuan membantu ibubapa lain meringankan beban kos kehidupan mereka disamping memberi semangat moral kepada mereka untuk terus berjuang bersama anak-anak mereka yang menghidap kanser.” katanya.

USD kali ini juga memfokuskan muzik sebagai platform untuk mendekatkan masyarakat kepada program yang dijalankan oleh Pusat Kebudayaan USIM.

Menurut salah seorang pengunjung, program sebegini amat baik dilakukan kerana medium penyampaian menggunakan muzik serta menarik orang ramai untuk mendengar mesej yang ingin disampaikan oleh wakil pelajar USIM melalui lagu-lagu yang didendangkan.

USD yang diterajui oleh En. Mohd Juhairee Mohd Junaidie Khan berkata, program street dakwah telah menjadi aktiviti tetap bagi Pusat Kebudayaan kerana muzik mampu menyampaikan dakwah yang lebih berkesan dan lebih dekat kepada jiwa masyarakat. Konsep penyampaian seni yang pelbagai sememangnya mampu menarik masyarakat untuk mengetahui isu-isu semasa.

“Aktiviti street dakwah ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana aktiviti ini telah dilaksanakan dan mencapai objektifnya.” tambahnya dalam sesi temu bual.

USIM Street Dakwah pada petang itu diakhiri dengan bacaan doa untuk kanak-kanak kanser oleh saudara Mohamad Husaini Mahmur dan jelajah seterusnya akan diadakan pada 30 April bertempat di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Membeli Belah Alamanda dengan pelbagai penyampaian seni seperti lakonan teater.

Disediakan oleh:

EB Muhammad Fakhrullah Mohd Khairul Zahrin

Pusat Kebudayaan USIM

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.