TOT Usim Street Dakwah 2016

HKL KIDS KANSER SASARAN USD 2016

Nilai, 9 Mac 2016 –  Pusat Kebudayaan USIM melalui program USIM Street Dakwah berhasrat mengumpul dana untuk disalurkan kepada Kanak-Kanak Kanser (KK3) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sepanjang tahun 2016 ini.

Program Training of Trainer (TOT) Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diadakan bertujuan memberi pendedahan terhadap peranan dan tanggungjawab masyarakat untuk membantu dan memberi sokongan kepada kanak-kanak penghidap kanser.

Menerusi program ini Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KK3) (HKL) dijemput untuk berkongsi pengalaman tentang bagaimana mereka membantu dan menaikkan semangat ahli keluarga terumatanya anak-anak untuk menjalani rutin kehidupan harian di samping menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

USIM Buskers telah berkunjung ke Unit KK3 HKL pada 4 Februari lalu sebagai langkah pertama dalam usaha memberi sokongan dan hiburan kepada kanak-kanak ini bersempena dengan Hari Kanser Sedunia 2016.

"Program USIM Street Dakwah kali ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana satu kumpulan fungsinya untuk memberi kekuatan serta sokongan moral dan kumpulan berikutnya berusaha mendapatkan sumbangan serta kesedaran masyarakat. Memegang kepada prinsip Rasulullah SAW iaitu membantu orang yang memerlukan dapat membentuk jati diri di samping membentuk akhlak murni dalam kalangan masyarakat khususnya mahasiswa, " kata Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan yang ditemui di sini semalam.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser, Pn. Wan Shahrizah Wan Abd Rahman berkata, beliau amat berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Pusat Kebudayaan USIM. Jelasnya lagi, usaha ini turut sejajar dengan misi organisasi ini sendiri bagi meningkatkan kesedaran umum serta membantu anak-anak kanser.

"Saya sangat terharu dengan bantuan yang diberikan, dengan adanya penglibatan masyarakat serta sokongan yang kuat ianya diharapkan dapat membantu anak-anak di wad KK3 untuk terus berjuang dan tidak mengenal erti putus asa dalam melawan penyakit yang dihidapi. Saya percaya melalui pendekatan muzik ia merupakan satu terapi untuk menghidupkan kembali semangat kepada anak-anak kanser meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Qistina Batrisyah yang menghidap barah otak tahap tiga, Encik Khairul Anuar, turut melahirkan rasa syukur kerana masih ada masyarakat yang prihatin terhadap anak-anak pesakit kanser.

Program USIM Street Dakwah yang seterusnya dijangka bakal diadakan pada 19 Mac bertempat di Alamanda Putrajaya diikuti pelancarannya dirancang pada bulan April akan datang. 

 

Disediakan oleh:

EB Maryammul Azra

EB Muhammad Fakhrullah

Pusat Kebudayaan USIM

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.