HARI TAARUF UKP 2016

HARI TAARUF URUS SETIA KESENIAN PELAJAR TINGKAT SILATURAHIM

 

Nilai, 27 Februari – Hari Taaruf yang melibatkan seluruh ahli Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia, (USIM) sesi 2015/2016 berlangsung dengan penuh kemeriahan di sini, semalam.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 2 USIM, hari suai kenal yang julung kalinya diadakan ini disertai lebih 200 orang pelajar yang terdiri dari ahli kumpulan Pengurusan Seni, Cak Lempong, Tarian, Dikir Barat, Seni Khat, Seni Lukis, Koir, Nasyid, Qasidah, Muzik Moden, Teater, Penulisan Kreatif, Perkusi, Ejen Berita dan Multimedia.

Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM berkata dalam ucapan perasmiannya, seni itu terdiri dari 3 elemen penting iaitu, seni yang menghubungkan kita dengan Pencipta, seimbang duniawi dan Ukhrawi serta memberi manfaat kepada semua orang. Beliau turut menyuarakan harapannya agar semua ahli UKP dapat melihat seni dalam konteks yang lebih baik supaya setiap aktiviti yang dijalankan lebih berkesan dan memberi impak tinggi kepada Kemahiran Insaniah pelajar.

Tambahnya lagi kebanyakan kumpulan kesenian yang bernaung dibawah Pusat Kebudayaan ini sememangnya sudah pun dikenali dengan kejayaan dan sumbangan mereka menerusi penglibatan pelbagai peringkat dan momentum ini harus dikekalkan.

Sementara itu, Hafi Huzaifah Hussin, Pengerusi Urus Setia Kesenian Pelajar berkata, hari taaruf ini diadakan untuk merapatkan ukhuwah dan memberi ruang untuk lebih mengenali dan mengeratkan hubungan silaturahim  kalangan Urus  Setia Kesenian Pelajar.

Nur Khairul Bariyah Ismail, salah seorang peserta bagi hari taaruf ini turut menyokong kenyataan Hafi Huzaifah bahawa hari taaruf ini banyak memberi peluang untuk lebih mengenali ahli kumpulan lain.

“Melalui aktiviti pada hari ini saya dapat bergaul dan berkenalan dengan ramai ahli yang sebelum ini jarang bertemu malah saling bertukar ilmu dan pendapat berkaitan program seni,” katanya.

Program dimulakan dengan senaman seni pada sebelah pagi dan diikuti dengan beberapa aktiviti menarik seperti ice breaking, group bonding dan seterusnya pengenalan Majlis Tertinggi Urus Setia Kesenian Pelajar.

Disediakan oleh:

EB Ahmad Ashraf Rasid

EB Muhammad Asrul Abdul Roshak

Pusat Kebudayaan USIM

PUSAT KEBUDAYAAN
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel:
+606 -798 6106 / 6107 , Faks: +606 -798 6109, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.